KEJOHANAN Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) menutup tirainya dengan menyaksikan pasukan Johor membolot dua kemenangan menerusi skuad Bawah-18 (B-18) dan Bawah-15 (B-15), manakala Bawah-12 (B-12) pula memihak kepada negeri Kedah.
Umum sedia maklum bahawa MSSM adalah salah satu platform terbaik untuk mencari dan menilai bakal bintang bola sepak tanah air di usia muda sehingga ubi muda itu akan menjadi aset terbaik negara.
Dengan platform yang mempamerkan kemahiran pemain muda itu, pasti ramai pasukan pemantau bakat turun untuk menyaksikan kejohanan MSSM tersebut bagi memikat mereka untuk menjadi pemain akademi.
Seperti baru-baru ini, heboh dalam kalangan penyokong bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila difahamkan empat pemain B-15 sudah dilamar oleh pasukan pemantau bakat Johor Darul Takzim (JDT).
Bercakap dengan Majoriti bagi menjelaskan keadaan sebenar mengenai khabar angin itu, wakil Akademi Sang Kenari yang enggan didedahkan namanya tidak menafikan bahawa terdapat dua pemain dari akademi Utara tanah air itu menarik minat akademi dari kelab gergasi tanah air tersebut.
Dia bagaimanapun menegaskan hanya dua pemain muda Akademi Sang Kenari sahaja mendapat lamaran JDT dan bukanlah empat orang prospek seperti yang disebarkan dalam media sosial sebelum ini.
Barisan pemain B-15 ketika MSSM di Johor. — Facebook/Akademi Sang Kenari
"Saya tak pasti mengenai khabar angin mengenai empat budak B-15 diambil JDT. Budak saya sendiri pun ada yang JDT ambil cuma belum ada kepastian kerana ada ibu bapa nak dapatkan pendapat.
"Hanya dua orang pemain B-14 yang diambil JDT. Jika okay kami tiada masalah untuk mereka ke Akademi JDT namun setakat ini ia cuma khabar angin. Belum ada hitam putih sama ada JDT akan ambil mereka atau sebaliknya," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, dua pemain yang dikhabarkan akan menimba ilmu dengan akademi juara bertahan Liga Super itu ialah pemain yang beraksi di posisi tengah dan seorang lagi bermain di jentera pertahanan.
Tambahnya, ia bukan kali pertama pemain Sang Kenari menarik perhatian barisan pasukan pemantau bakat Harimau Selatan kerana kini seorang anak didiknya sudah berada di Akademi JDT.
Mengulas mengenai sama ada pihak KDA FC sendiri ataupun dari akademi lain cuba mengambil pemainnya, memberitahu hanya Akademi JDT sahaja cuba melakukan inisiatif tersebut.
"Hari itu buat di Johor jadi ada scouting JDT yang turun untuk pantau budak yang ada bakat macam dari Akademi Sang Kenari.
"Tawaran dari KDA FC tak pasti sebab pihak pengurusan perlu buat insiatif. Setakat ini hanya Akademi JDT approach. Namun masih tiada hitam putih, jadi nak beritahu detail pun tak boleh lagi," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram