Aidil Sharin ada magis tersendiri, tapi Kedah tiada masalah jadi juara — Azmeer


  • Podium
  • Khamis, 07 Sep 2023

Azmeer pernah meraih beberapa kejayaan sepanjang beberapa tahun bersama KDA FC. — Facebook/ArenaHijauKuning

KEDAH Darul Aman (KDA) FC berpeluang mengubati luka selepas tersingkir daripada saingan Piala Malaysia apabila mereka bakal berentap dalam MFL Challenge Cup 2023.

Pertandingan yang sebelum ini dinamakan Malaysia Challenge Cup itu diadakan semula bagi memberi peluang buat kesemua pasukan tersingkir daripada pusingan pertama Piala Malaysia.

Jadi, berdasarkan undian yang dibuat, skuad Sang Kenari bakal berdepan kelab tercorot Liga Super 2023, Kuching City FC yang tersingkir di tangan Sabah FC.

Pertembungan tersebut pastinya cukup menarik memandangkan pasukan Utara tanah air itu akan bertemu bekas pengendalinya, Aidil Sharin Sahak yang kini membimbing skuad The Cats.

Meskipun KDA FC berada dalam prestasi terumbang-ambing ketika berada di bawah kendaliannya musim lalu, jurulatih berasal dari Singapura itu pernah mencipta kejayaan bersama skuad Sang Kenari dengan mendakap Piala FA 2019.

2038937

Aidil pernah membimbing skuad Sang Kenari untuk beberapa musim. Facebook/KDA FC

Di samping itu, Aidil turut mempunyai kelebihan dalam pertembungan berkenaan dengan rata-rata pemain pasukan berkenaan pernah berada di bawah bimbingannya.

Oleh itu, penyokong Hijau Kuning semestinya berasa gusar akan cabaran yang bakal dibawa pengendali berusia 46 tahun itu dalam aksi pembukaan MFL Challenge Cup pada 19 September di Stadium Negeri, Sarawak.

Bagaimanapun, bagi bekas pemain KDA FC, Azmeer Yusof, kelab Utara itu dilihat mempunyai kelebihan untuk mara berdasarkan kualiti pemain serta reputasi kelab itu sendiri.

"Secara peribadi, tiada masalah untuk Kedah kerana kita lihat mereka berada dalam kelompok lima teratas dalam Liga Super. Jadi, kalau diikutkan, mereka sepatutnya tiada masalah dalam MFL Challenge Cup.

"Lagipun, bukannya hendak pandang rendah terhadap pasukan lain, tetapi atas nama Kedah dan pemain sendiri, gelaran juara itu sepatutnya milik mereka," katanya kepada Majoriti.

Selain KDA FC dan Kuching City FC, enam pasukan lain turut berentap dalam pertandingan berkenaan, iaitu Kuala Lumpur (KL) Rovers, Harini FT, Penang FC, Kelantan FC serta Kelantan United FC.

mfl-challenge-cup-2023-1

MFL Challenge Cup diadakan untuk memberi peluang buat pasukan yang tersingkir daripada saingan Piala Malaysia.

Melihat kepada kesemua kelab berkenaan, skuad Sang Kenari tidak boleh dinafikan mempunyai kelebihan berdasarkan kedudukan mereka dalam carta Liga Super.

Bagaimanapun, menurut Azmeer, KDA FC tidak boleh memandang rendah mengenai keupayaan lawannya itu supaya kesilapan sama tidak berulang.

"Kita sedia maklum bahawa Kuching City FC berada di tangga tercorot Liga Super. Namun, apa sekalipun, kita tidak boleh pandang rendah kerana kita pun sudah maklum bahawa Aidil Sharin mempunyai magis tersendiri.

"Jadi, mereka perlu beri perhatian terhadap magisnya itu dan perlu peka dengan kemungkinan yang akan berlaku dalam aksi akan datang," katanya.

Sebelum ini, Azmeer pernah beraksi bersama skuad Sang Kenari sebanyak dua kali, termasuk ketika mereka menjuarai Piala Malaysia 2016 serta Piala FA 2019.

Ketika ini, pemain berkenaan difahamkan sudah tidak lagi bergiat dalam dunia bola sepak profesional setelah menceburi bidang perusahaan pakaian beberapa tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram