CABARAN Harimau Malaya di bumi China akan bermula dengan aksi menentang Syria dalam siri dua perlawanan persahabatan sebagai persiapan menentang Piala Asia 2023.
Akhirnya keluar daripada zon selesa dengan beraksi menentang dua pasukan dalam kelompok 100 terbaik dunia, ujian berbeza pastinya menanti skuad Kim Pan-gon.
Kekuatan akan diuji, kelemahan akan dicari sebelum menanti cabaran sebenar di Qatar pada Januari 2024. Tetapi, perlulah Harimau Malaya mengharungi cabaran dua negara terlebih dahulu iaitu Syria dan China di Chengdu.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, ini adalah tiga bahagian yang perlu diberi perhatian oleh Pan-gon untuk memastikan hasil positif berjaya dicapai ketika bertemu Syria.
Kim Pan-gon memerhatikan skuadnya melakukan persiapan menentang Syria. — FAM
1. Ketangkasan penjaga gawang
Semua mengetahui penjaga gol adalah pertahanan terakhir sebelum bola melintas ke dalam gawang. Jika diikutkan, kita tidak perlu risau kerana tiga pemain di posisi ini adalah kompeten dan mampu memberikan persembahan baik terutamanya Syihan Hazmi.
Akan tetapi, Syihan dalam saingan domestik tidak terlalu diuji oleh mana-mana lawan dihadapinya kecuali Kedah Darul Aman (KDA) FC. Sebagai rekod, pemain ini cuma memboloskan tujuh gol untuk Johor Darul Takzim (JDT) dalam Liga Super musim ini.
Syihan, Kalamullah dan Azri adalah taruhan negara di pintu gol. — Facebook/FAM
Dengan tidak menafikan kehebatannya sebagai penjaga gol tetapi Syihan dilindungi dengan baik oleh pertahanan didepannya ketika bersama kelab.
Oleh itu, Syihan perlu lebih fokus ketika berdepan Syria yang mempunyai pemain-pemain handalan yang mampu mengucar-kacirkan pertahanan dan pintu gol Malaysia.
2. Pertarungan midfield
Untung rugi sesebuah pasukan dalam perlawanan bola sepak lazimnya ditentukan di kawasan tengah. Pertarungan antara pemain tengah kedua-dua negara akan menjadi perhatian ketika aksi ini.
Barisan tengah negara perlu mengimbangi tugasan ketika membantu serangan dan ketika bertahan. Mengelak daripada mengalami overrun adalah perkara wajib pasukan negara lakukan untuk tidak mengalami masa sukar di padang.
Pan-gon mempunyai pelbagai pilihan untuk posisi tengah, jadi pastinya pengendali dari Korea Selatan ini mempunyai pelan A dan B bagaimana hendak berdepan barisan pemain tengah Syria.
Mungkin pada peringkat awal, Pan-gon boleh mengenakan gandingan tengah yang defensive-minded untuk mengenal pasti keupayaan lawan sebelum lebih cenderung untuk menyerang.
Brendan Gan boleh dijadikan sandaran untuk mengemudi bahagian tengah. — Facebook/FAM
3. Jangan sia-siakan peluang
Menyedari menentang pasukan yang rankingnya jauh lebih tinggi daripada Malaysia, boleh dijangka pasukan negara tidak akan mempunyai begitu banyak peluang untuk menjaringkan gol.
Boleh menjadi satu kemungkinan yang penyerang negara terpinggir (isolated) sekiranya Syria benar-benar berjaya menghalang Malaysia daripada mendekati kotak penalti mereka.
Arif Aiman pastinya menjadi tumpuan pertahanan Syria. — FAM
Namun begitu, jika berhasil mendapatkan peluang, gunakan ia dengan sebaiknya. Peluang mungkin datang sekali dua, tetapi biarlah ia diambil dengan baik lalu diterjemah kepada jaringan.
Oleh itu, penyerang negara perlu memastikan latihan penyudah disempurnakan dengan harapan ia boleh membantu ketika perlawanan supaya Malaysia berhasil mendapatkan jaringan.
Boleh, bukannya tak boleh
Ujian menentang Syria dan China ini memang sukar, tak dinafikan. Tetapi Malaysia boleh melakukannya.
Masa sudah tiba untuk kita semua baik sebagai penyokong biasa, pemerhati atau sebagainya berdiri teguh bersama skuad kebangsaan untuk menempuh satu perjalanan dimana Harimau Malaya akhirnya boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan jaguh-jaguh Asia.
Semoga berjaya, Malaysia! — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram