MESKIPUN gagal menamatkan penantian 44 tahun untuk menjulang Piala Raja Thailand yang berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai, Thailand, namun aksi cemerlang pada kejohanan itu membuatkan Harimau Malaya masih diberi pujian menggunung.
Skuad kebangsaan tewas 0-3 kepada Tajikistan dalam penentuan sepakan penalti pada aksi final Ahad malam selepas kedua pasukan terikat 0-0 pada 90 minit aksi sebenar.
Tiada penyesalan, malah ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon memuji anak buahnya kerana meletakkan semangat juang dan kekuatan mental yang tinggi sepanjang perlawanan akhir itu.
Perlawanan edisi ke-48 kejohanan itu turut membantu Malaysia mengumpul 1061.16 mata dan berjaya mendaki satu anak tangga ke kedudukan 147 dunia selepas berjaya menewaskan Thailand juga menerusi sepakan penalti.
Bukan hanya melonjakkan ranking FIFA, malah kejohanan Piala Raja Thailand itu juga menaikkan saham beberapa pemain berikutan aksi cemerlang yang dipamerkan dan lebih menarik rata-rata penyokong menyifatkan mereka sebagai pemain kacak.
Berikut lima pemain yang berjaya mencuri perhatian dengan ketampanan dan ketangkasan ketika di padang pada kejohanan tersebut:
1) Syihan Hazmi
Syihan semakin menyinar bersama kelabnya, Negeri Sembilan FC. — Facebook/FAM
Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dianggap wira Harimau Malaya pada kejohanan itu selepas ketangkasannya menyelamatkan beberapa percubaan Thailand termasuk sepakan penalti sehingga berjaya membawa Malaysia ke pentas akhir.
Lebih menarik, pengendali Tajikistan, Petar Segrt turut berasa kagum dengam persembahan penjaga gol Negeri Sembilan FC itu.
Ini bukan kali pertama, Syihan Hazmi mendapat pujian daripada penyokong bola tanah air kerana namanya turut menjadi sebutan sewaktu mengalahkan Bangladesh dalam aksi akhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia.
Bukan sahaja kerana persembahan cemerlangnya, malah wajah kacak Syihan turut menjadi buah mulut penyokong terutamnya dalam golongan wanita.
2) Brendan Gan
Brendan sebelum ini berehat lama kerana penyakit kanser yang dihadapinya. — Facebook/FAM
Pernah dilabel sebagai pemain “tall, bright and handsome”, Brendan Gan semakin digilai penyokong lagi-lagi pada kejohanan Piala Raja Thailand yang juga penampilan pertamanya sejak 2019.
Kali terakhir pemain berusia 34 tahun itu beraksi untuk skuad kebangsaan adalah ketika saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Kemunculan kembali Brendan bersama Harimau Malaya sememangnya memberi kesan dengan posisinya sebagai pemain tengah jelas membantu serangan dan pertahanan skuad di bawah Pan-gon.
Kehadiran pemain kacukan Malaysia-Australia itu disukai Pan-gon apabila jurulatih berasal dari Korea itu menurunkan Brendan sebagai kesebelasan utama dalam dua perlawanan kejohanan itu.
3) Arif Aiman Hanapi
Arif Aiman mula menempa nama bersama JDT. — Facebook/FAM
Seperti diketahui, kehebatan pemain sayap, Arif Aiman tidak dapat dinafikan apabila sering mendapat panggilan menyertai skuad kebangsaan termasuklah kejohanan Piala Raja Thailand.
Biarpun baru berusia 20 tahun, Arif Aiman berjaya menewaskan beberapa pemain senior lain dengan terpilih menjadi kesebelasan utama sewaktu menentang Thailand dan pemain gantian sewaktu menentang Tajikistan.
Kelincahan pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu banyak membantu Darren Lok untuk membuka ruang bagi melakukan percubaan dan mencari jaringan sewaktu menentang pasukan tuan rumah.
Bagaimanapun, sedikit mengecewakan buat para penyokong wanita apabila Arif Aiman dikatakan sudah memiliki teman istimewa.
Perkara itu timbul selepas seorang gadis menggunakan akaun @lia.hsr yang berkongsi Instastory foto selfie bersama Arif Aiman di atas padang, selepas perlawanan akhir Piala FA.
Dipercayai gadis itu berusia 17 tahun dan difahamkan merupakan pemilik jenama tudung Rumah Bawal HQ yang beralamat di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor.
4) Darren Lok
Darren menjadi penyerang berbisa buat PJ City. — Facebook/FAM
Pemain Petaling Jaya (PJ) City FC, Darren Lok sekali lagi menjadi pilihan Pan-gon apabila memutuskan untuk menjadikan pemain berusia 31 tahun itu sebagai penyerang utama kebangsaan.
Sewaktu menentang Thailand, Darren dilihat sangat rancak dalam melakukan percubaan namun rezeki tidak memihak kepadanya apabila gagal memberi sebarang gol buat pasukan Malaysia.
Pemain seiras pelakon Hollywood, Channing Tatum itu sentiasa mencuri perhatian pihak lawan kerana kelajuannya mengejar bola bagi membantu pasukan mendapatkan jaringan.
5) Akhyar Rasyid
Akhyar turut mendapat jolokan Messi Kedah. — Facebook/FAM
Akhyar Rashid, atau lebih dikenali sebagai Matyat memang dikenali sebagai pemain yang kacak dan mempunyai ramai penyokong terutamanya dalam kalangan wanita.
Selain memiliki rupa paras yang diminati ramai wanita, kelicahan Akhyar juga menjadi antara sebab pemain itu sering dipanggil ke kem Harimau Malaya.
Diturunkan sebagai kesebelasan utama sewaktu menentang Tajikistan, pemain JDT itu dilihat beberapa kali berjaya memecahkan benteng pertahanan pihak lawan dalam aksi babak pertama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram