Bukan hanya Arif Aiman dan Malik Ariff, 6 nama dari kelab ternama Liga M sesuai jadi pilihan ejen Moon-sik


  • Podium
  • Ahad, 30 Apr 2023

Myeongho mahu cuba berunding dengan pihak pengurusan JDT bagi membawa Arif ke Korea Selatan. — Facebook/JDT

NAMA Myeongho Jeong baru-baru ini cukup dikenali sebagai individu yang mencetuskan pergaduhan dengan pihak Kelantan FC yang mana dia mendakwa pengurusan kelab berkenaan gagal menjadi majikan baik kepada pengendali Choi Moon-sik.

Dia yang merupakan ejen kepada Moon-sik itu mendedahkan satu persatu masalah yang berlaku dalam ke kem Kelantan FC dari masalah pemecatan pengendali Korea Selatan itu sehinggalah dakwaan masalah gaji.

Namun, lupakan sebentar mengenai kisah hitam skuad The Red Warriors (TRW) itu kerana selain daripada bertugas sebagai ejen Moon-sik, Myeongho juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JMH Sports Agency iaitu pencari bakat pemain.

Dalam hantaran terbaharu Myeongho di Instagram, dia memaklumkan bahawa akan singgah ke tanah air untuk menonton perlawanan Liga Malaysia (Liga M) bagi meninjau dua pemain yang difahamkan dalam radar kelab di Korea Selatan.

WhatsApp Image 2023-04-30 at 16.38.18

Tangkap layar hantaran Myeongho.

"Saya akan ke Malaysia tidak lama lagi. Saya pergi ke Malaysia untuk menonton perlawanan bagi meninjau dua pemain Malaysia. Tidak lama lagi pemain baharu saya dari Korea akan dimasukkan ke dalam Liga Malaysia. Sampai jumpa lagi kawan-kawan di Malaysia," tulisnya dalam hantaran tersebut.

Ada yang mendakwa dua pemain yang dimaksudkan ejen tersebut ialah bintang muda Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman dan pemain Sri Pahang FC, Malik Ariff berikutan sebelum ini dia pernah memetik nama mereka.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa kualiti yang ada pada kedua-dua pemain tersebut menarik minat Myeongho dan mereka mempunyai kelayakan untuk beraksi di saingan Liga Korea Selatan.

“Saya sedang memantau beberapa pemain di Liga Malaysia seperti pemain nombor 42 dari JDT (Arif Aiman) dan pemain nombor 10 dari Sri Pahang (Malik Ariff).

"Saya ada menonton perlawanan di Malaysia dan saya rasa nombor 42 dari JDT ada teknik yang bagus, pemain nombor 10 Sri Pahang juga bagus, pada pendapat saya mereka boleh bermain di K League," memetik laporan Harimau Malaya.

Selain dua pemain terbabit, penyokong juga tidak melepaskan peluang apabila ada yang mencadangkan beberapa nama kepada Myeongho sekiranya dia berminat untuk membawa bakat Malaysia ke persada antarabangsa.

WhatsApp Image 2023-04-30 at 16.37.29

Faisal merupakan antara pemain sayap terbaik di Malaysia. — Facebook/SelangorFC

Antara nama yang disebut berbaloi untuk dipantau ejen dari Korea Selatan itu ialah Faisal Halim, Mukhairi Ajmal (Selangor FC); Shahrul Nizam, Shafiq Ismail, Nik Syarif (Terengganu FC); dan Fazrul Amir dari Kelantan FC.

Pemain sayap lincah, Faisal membuktikan bahawa dia adalah pembelian berbaloi buat gergasi Merah apabila sudah merekodkan empat jaringan gol dan empat lagi hantaran bantuan selepas hanya tampil dalam 11 perlawanan.

Rakan seperjuangannya, Mukhairi yang kini sedang berjuang untuk negara bagi kejohanan Sukan SEA Kemboja juga antara ubi muda berpotensi di tanah air dan pemain berusia 21 tahun itu semakin menunjukkan kebolehannya di bawah sentuhan Tan Cheng Hoe.

shahrul

Shahrul menyertai sejak musim 2021. — Facebook/TFC

Tiga pemain dari Terengganu itu adalah antara wajah yang sering menjadi pilihan pengendali, Tomislav Steinbruckner terutamanya Shahrul Nizam yang diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan.

Dengan ketiga-tiganya akan mewakili Terengganu dalam kancah Piala AFC, pasti pengalaman mereka bertanding di peringkat antarabangsa itu nanti akan lebih membuka mata ejen lain untuk melihat potensi mereka.

Penyerang sayap Kelantan FC, Fazrul Amir Zaman merupakan antara pemain tumpuan Kelantan pada musim ini dan musim ini sahaja tonggak berusia 23 tahun itu sudah menyumbangkan dua jaringan dalam sembilan perlawanan dia diturunkan.

WhatsApp Image 2023-04-30 at 16.37.49

Fazrul menjaringkan dua gol kedua untuk Kelantan FC. — Facebook/Kelantan FC

Untuk rekod, Myeongho sudah bertahun berkecimpung sebagai ejen pemain dan cukup terkenal di Liga Thailand apabila dia menghantar seramai 200 pemain beraksi di negara Gajah Perang itu.

Musim ini sahaja, dia sudah membawa masuk seramai 10 pemain dan jurulatih menyertai beberapa pasukan Liga Super seperti Kelantan FC, Perak FC, Sri Pahang dan Kelantan United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram