1-0 atau 5-0 saya tak peduli, janji dapat 3 mata — Fergus Tierney


  • Podium
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Fergus Tierney hanya mahukan kemenangan buat Malaysia dalam misi ke Piala Asia B-23. — Facebook/FAM

PERJALANAN skuad B-23 Malaysia dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Chonburi, Thailand berada dalam keadaan yang baik.

Selepas berjaya meraih kemenangan dalam aksi sulung bertemu Bangladesh, kini sudah tiba masa untuk fokus skuad E. Elavarasan tertumpu kepada aksi menentang Filipina pula pada Sabtu.

Dengan misi meraih akan diteruskan, tiada sasaran lain ditetapkan oleh pemain negara, Fergus Tierney yang mahu memastikan Malaysia akan menempah tempat ke pusingan akhir di Qatar.

Bercakap sebelum perlawanan menentang Filipina, Tierney mengakui Harimau Muda sepatutnya meraih lebih banyak jaringan ketika bertemu Bangladesh, tetapi dia gembira kemenangan tetap berjaya diperoleh pada wisel penamat.

Sebagai rekod, nama Tierney terkandung dalam senarai penjaring apabila menyumbat gol kedua selepas jaringan pembukaan oleh Alif Izwan.

375816327_1006812427058660_3573010480087360612_n

Alif Izwan meraikan jaringannya bertemu Bangladesh. — Facebook/FAM

"Perlawanan menentang Bangledesh sudah berakhir, walaupun tidak memberikan persembahan terbaik dan menjaringkan banyak gol, yang penting kita dapat tiga mata.

"Sekarang ini, persiapan untuk perlawanan menentang Filipina sedang dilakukan untuk pastikan dapat tiga mata. Saya tak fikir mengenai berapa gol yang kita jaringkan, yang penting kita menang. 1-0 atau 5-0 untuk saya sama sahaja.

"Kita nak menang setiap perlawanan jadi saya percaya dengan pasukan, jadi saya rasa kita akan menang. Kepada penyokong, teruskan menyokong kami kerana kami amat menghargai sokongan anda," kata Tierney.

Sementara itu bagi seorang lagi pemain, Nooa Laine, dia bersedia untuk diturunkan pada aksi menentang Filipina ini selepas tidak diturunkan bertemu Bangladesh.

Laine dan seorang lagi pemain iaitu Luqman Hakim dikatakan tidak diturunkan pada perlawanan pembukaan kerana faktor kekurangan rehat akibat perjalanan panjang daripada Eropah ke Asia Tenggara namun dia sudah berasa lebih baik sekarang.

"Saya rasa baik-baik saja selepas perjalanan panjang dan selepas sekali berlatih, saya rasa lebih baik.

"Bagus kalau jurulatih pilih untuk turunkan saya, dan saya akan berikan yang terbaik jika diberikan peluang untuk membantu pasukan. Sasaran saya cuma satu iaitu layak ke pusingan akhir dan itu juga adalah sasaran kami sebagai pasukan," ujar Laine.

Harimau Muda akan berdepan dengan Filipina dalam aksi kedua kumpulan H pada jam 5.30 waktu Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram