KELIBAT bekas penjaga gol Kelantan FC, Rozaimi Rahamat dilihat berada dalam gelanggang futsal pasukan Johor Darul Takzim (JDT) baru-baru ini, memberi petanda bahawa dia mahu membina semula kariernya.
Tentunya kelibat pemain berusia 26 tahun itu bakal menjadi senjata baharu pasukan futsal JDT kerana mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam industri bola sepak.
Sebelum ini, Rozaimi pernah menabur bakti bersama kelab bola sepak JDT II sebelum berpindah ke skuad The Red Warriors (TRW).
Susulan itu, dengan pengalaman bersama kelab Pantai Timur itu tentunya Rozaimi mampu untuk menterjemahkan kualiti terbaiknya di dalam gelanggang futsal.
Rozaimi ketika berada dalam sesi latihan bersama futsal JDT.
Berikut Majoriti menyenaraikan tiga cabaran yang bakal dihadapi oleh bekas penjaga gol Kelantan FC untuk membina semula namanya dalam kancah futsal tempatan, lebih-lebih lagi bersama JDT.
1) Tempoh permainan
Berbeza dengan bola sepak, gaya permainan futsal lebih pendek iaitu bermain selama 40 minit dalam satu perlawanan berbanding bola sepak yang bermain selama 90 minit.
Walaupun bola sepak bermain dengan tempoh minit yang lama berbanding futsal, namun futsal dilihat lebih cepat keletihan kerana gaya permainan yang memerlukan kepantasan jika ingin menjaringkan gol atau menghalang serangan lawan.
Rozaimi perlu membiasakan diri dengan kepantasan para pemain jika ingin menjaga gawang daripada dibolosi kerana tugas menepis bola yang laju bukanlah perkara yang mudah jika dibandingkan dengan bola sepak.
Ini kerana, dia perlu peka sepanjang perlawanan dengan kepantasan bola untuk sampai ke kawasannya.
2) Hadapi cabaran berbeza di futsal
Futsal mempunyai cabaran tersendiri iaitu bermain di kawasan yang lebih kecil serta jumlah pemain yang terhad iaitu hanya seramai lima orang setiap pasukan termasuk penjaga gawang.
Jika dibandingkan dengan bola sepak, sudah tentu amat berbeza dari segi kawasan dan jumlah pemain yang berada di atas padang.
Dengan kawasan yang terhad dan jumlah pemain yang sedikit, sudah tentu sukar untuk bekas penjaga gol Kelantan itu untuk menjaga gawang dengan baik.
Kecekapan dalam menangkap dan menepis bola sudah tentu menjadi kunci utama untuk Rozaimi memastikan gawangnya sentiasa selamat.
3) Dapatkan kecergasan
Kecergasan pemain futsal juga merupakan perkara penting untuk sebuah pasukan itu berjaya kerana perlu bermain dengan keupayaan 100 peratus.
Disebabkan tidak mempunyai minit permainan yang mencukupi selepas tamat kontrak bersama Kelantan FC, Rozaimi dilihat perlu mencari kecergasan kembali agar mampu menunjukkan prestasi yang cemerlang jika ingin membentuk benteng pertahanan yang kukuh.
Berada di bawah kendalian pasukan JDT, sudah tentu kecergasan Rozaimi terjaga kerana ia merupakan kelab berprestasi tinggi di mana ‘survival of the fittest’ (keperluan untuk menjadi yang paling cergas) adalah mustahak dan tiada ruang untuk kelekaan.
Sudah pasti pemain 26 tahun itu perlu pantas untuk mencari kecergasannya semula agar mendapat tempat dalam skuad futsal JDT itu.
Terdahulu, Rozaimi yang juga bekas penjaga gol Kelantan FC mendedahkan sudah menamatkan kontrak atas persetujuan bersama kelab tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram