SKUAD bola sepak bawah 23 tahun negara (B-23) bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan Bangladesh 2-0 pada aksi pertama pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Stadium Chonburi, Thailand pada Rabu.
Dalam perlawanan separuh masa babak pertama, anak-anak buah E. Elavarasan terpaksa bekerja keras sehingga Alif Ikmalrizal menjaringkan gol pada minit ke-42 namun dibatalkan apabila Alif didapati berada pada kedudukan ofsaid.
Bersambung pada babak kedua, pemain tengah negara, Alif Izwan Yuslan tampil menjadi wira apabila melakukan percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-81.
Tidak mahu menyerah kalah, Bangladesh di bawah kendalian Mohammad Zulfiker Mahmud Mintu cuba menyamakan kedudukan, namun Fergus Tierney muncul wira apabila merembat masuk gol kedua negara pada minit-minit akhir bagi memastikan skuad negara meraih tiga mata penuh pada aksi sulung pusingan pertama peringkat kelayakan tersebut.
Sebahagian aksi salah seorang pemain negara dikawal ketat oleh pasukan lawan. — Facebook/FAM
Kemenangan itu pastinya cukup menggembirakan peminat bola sepak negara, lebih-lebih lagi apabila ia menyaksikan skuad senior dan muda kebangsaan mampu meraih keputusan memberangsangkan.
Mengulas akan perlawanan itu, Elavarasan berkata, dia berpuas hati dengan kerjasama yang dipamerkan anak-anak buahnya itu.
"Saya rasa untuk keseluruhan perlawanan pasukan negara sudah bekerja keras sebagai satu pasukan.
"Saya amat berpuas hati dengan kemenangan ini kerana dapat meraih tiga mata dan kita akan fokus untuk perlawanan seterusnya.
"Pastinya ia perlawanan yang sukar untuk kami kerana pada masa pertama kami terikat tanpa sebarang jaringan dan apa paling penting kami sudah bekerja keras sebagai satu pasukan.
"Tahniah kepada pasukan Harimau Muda kerana sudah menunjukkan hasil kerjasama dalam satu pasukan," katanya.
Mengulas akan corak permainan pihak lawan, Elavarasan berasakan pasukan Bangladesh sudah buat yang terbaik untuk menjaga gawang mereka namun asakan demi asakan yang dihasilkan oleh skuad negara membuah hasil selain turut berkongsi persediaan untuk perlawanan menentang Filipina.
"Saya rasa pertahanan pihak lawan sudah buat yang terbaik namun kami dapat membolosi gawang mereka dengan dua jaringan.
"Kami akan bersedia untuk perlawanan seterusnya dan apa yang paling penting pasukan negara sudah buat yang terbaik kerana objektif utama adalah meraih tiga mata," kongsinya.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan H seterusnya akan bertemu Filipina (9 September) sebelum mengharungi aksi terakhir berdepan tuan rumah Thailand (12 September) juga di venue sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram