Seri macam menang, 4 kelemahan HM ketika lawan Syria tak boleh diulangi semasa jumpa China


  • Podium
  • Khamis, 07 Sep 2023

Pemain Harimau Malaya meraikan jaringan ketika aksi menentang Syria pada Rabu. — Facebook/FAM

AKSI pertama siri perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Chengdu, China pada Rabu menyaksikan Harimau Malaya berjaya membuat kejutan apabila mencatat keputusan seri 2-2 menentang Syria, iaitu pasukan berada pada ranking ke-94 dunia.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium East-Town Football Park, Chengdu, China itu, anak buah Kim Pan-gon bangkit selepas ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama masing-masing hasil jaringan Mardik Mardikian pada minit ke-12 dan Yasin Samia (minit ke-41).

Dua gol penyamaan yang membawa kepada kebangkitan pasukan Harimau Malaya pada masa kedua masing-masing diperoleh daripada jaringan dua pemain gantian iaitu Akhyar Rashid pada minit ke-51 dan Darren Lok (minit ke-85).

Dalam aksi tersebut, Malaysia dilihat agak bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik pada separuh masa pertama meskipun menampilkan dua bintang negara di kedua-dua bahagian sayap iaitu Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi.

Namun, beberapa pertukaran yang dibuat pada separuh masa kedua di samping pengurangan intensiti oleh pasukan Syria akibat faktor keletihan dilihat membolehkan pasukan negara memberikan lebih tekanan terhadap barisan pertahanan lawan.

Pada 9 September depan (Sabtu), Harimau Malaya akan turun sekali lagi bagi bertemu China, pasukan yang berada di kedudukan lebih tinggi berbanding Syria iaitu di ranking ke-80 dunia.

Berikut Majoriti gariskan empat penambah baikan yang perlu dilakukan anak buah Pan-gon seperti mana dikongsikan 'ekor Harimau Malaya' di media sosial bagi menghadapi perlawanan seterusnya ketika berdepan China nanti:

1. Tajamkan penyudah

375450743_1006776133728956_2815919243411044640_n

Paulo (kiri) ketika beraksi menentang Syria pada Rabu. — FAM

Harimau Malaya pada Rabu memulakan perlawanan tanpa penyerang sebenar apabila Paulo Josue diletakkan di bahagian hadapan untuk berperanan sebagai pemain di posisi false nine.

Dalam formasi tersebut, Paulo dibantu oleh dua pemain sayap iaitu Faisal dan Arif untuk merencana serangan ke kubu lawan.

Di sebalik penguasaan ditunjukkan Syria, skuad negara tetap mampu menghasilkan beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol antaranya menerusi Faisal Halim, Paulo, Endrick Dos Santos dan termasuk pemain pertahanan kiri, Corbin Ong.

Bagaimanapun, peluang yang hadir itu tidak dapat diterjemahkan menjadi gol akibat daripada kualiti penyudah yang mengecewakan.

Isu ketajaman penyudah tentunya perlu diperbaiki sekiranya Pan-Gon mahu terus menggunakan taktik 'false nine' di bahagian hadapan.

2. Perbaiki aspek bertahan ketika situasi bola mati

375469977_1006801963726373_1041920642619135458_n

Pemain pertahanan negara, Sharul Nazeem (kiri) bersaing bersama pemain Syria ketika perlawanan pada Rabu. — FAM

Salah satu jaringan Syria pada perlawanan tersebut diperoleh hasil daripada tandukan Yasin selepas menerima hantaran daripada sepakan penjuru.

Ketika jaringan tersebut, Yasin dilihat berjaya dengan mudah melepasi kawalan Corbin Ong untuk menanduk masuk gol berkenaan.

Perlu diakui bahawa saiz pemain negara yang lebih kecil pastinya menghadirkan cabaran tersendiri buat negara lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan situasi bola mati berdekatan pintu gol pasukan.

Disebabkan itu, barisan kejurulatihan negara seharusnya mencari kaedah terbaik untuk memastikan gawang negara tidak mudah dibolosi ketika situasi bola mati.

Apatah lagi, pasukan Harimau Malaya kini dibantu dengan pemain naturalisasi dan pemain berdarah campuran yang memiliki saiz fizikal lebih kompetitif.

Kegagalan untuk menguruskan isu ini bakal menyebabkan situasi bola mati menjadi lubuk gol oleh pasukan lawan yang mempunyai kualiti terbaik dan seterusnya menyukarkan negara untuk bersaing khususnya ketika aksi Piala Asia 2023 akan datang.

3. Tingkatkan intensiti hantaran

375465734_1006801917059711_789140163909905107_n

Pemain negara dilihat bergelut untuk menampilkan intensiti hantaran lebih pantas ketika menentang Syria pada Rabu.. — FAM

Meskipun meletakkan dua pemain sayap terbaik negara di bahagian hadapan pada separuh masa pertama, Harimau Malaya dilihat masih bergelut untuk lebih konsisten memberikan tekanan kepada gawang Syria.

Malah, barisan tengah pasukan yang diterajui Endrick dilihat sukar untuk merencanakan gerakan bagi menembusi barisan pertahanan lawan.

Isu tersebut dipercayai berlaku antara lain disebabkan intensiti hantaran yang agak agak lemah antara pemain negara sehingga menyebabkan setiap gerakan dilakukan mudah dihidu dan ditutup oleh pemain Syria.

Pada separuh masa kedua, Harimau Malaya agak bernasib kerana pemain Syria dilihat mengalami keletihan sekali gus membolehkan pasukan menguasi perlawanan dan seterusnya mendapatkan jaringan penyamaan.

4. Cari formula terbaik untuk Arif Aiman

375301029_1006776110395625_346472604498108473_n

Arif (kanan) ketika beraksi menentang Syria pada Rabu. — FAM

Dalam pada itu, antara masalah ketara boleh dilihat dalam perlawanan kali ini ialah kegagalan Arif untuk memberikan pengaruhnya di barisan serangan pasukan kebangsaan.

Arif dilihat seakan-akan langsung tenggelam dalam aksi pada Rabu dan ia sama sekali berbeza dengan persembahan dipamerkannya ketika membantu Johor Darul Takzim (JDT) pada musim ini.

Isu ini seharusnya ditangani dengan segera oleh Pan-gon sekiranya beliau mahu mendapatkan yang terbaik daripada pemain sensasi kelahiran Pahang ini.

Hal ini boleh dilakukan sama ada melalui pengubahsuaian taktikal mahupun gandingan yang diturunkan bersama Arif termasuk di pilihan pemain di bahagian tengah yang bertanggungjawab menyalurkan bantuan sekali gus membina kombinasi hantaran bersamanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram