PERJALANAN penuh berliku buat Harimau Muda akan bermula pada Rabu apabila mereka beraksi dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Chonburi, Thailand.
Diletakkan dalam kumpulan H, cabaran semestinya terletak pada E. Elavarasan untuk memastikan kejayaan kali ini benar-benar tiba selepas gagal di Sukan SEA Kemboja dan Piala AFF B-23.
Akan tetapi, tugasan ini semestinya tidak mudah. Malaysia wajib memburu kedudukan sebagai juara kumpulan untuk memastikan slot di pusingan akhir kejohanan pada 2024 akan menjadi kenyataan.
Walaupun sedar itu adalah tugasan sukar, tetapi Elavarasan tahu itulah yang dihajati oleh penyokong dan pengendali tersebut mahu menghadiahkan slot di Qatar buat mereka.
"Di Malaysia, harapan itu sangat tinggi (dalam kalangan penyokong). Kami datang ke sini semestinya akan berikan yang terbaik dan akan memenuhi hajat yang dimahukan penyokong," kata Elavarasan.
Elavarasan diharap dapat tebus dua kegagalan lalu. — Facebook/FAM
Bakal memulakan aksi dengan menentang Bangladesh, Malaysia bakal menentang lawan yang masih boleh ditewaskan jika pendekatan taktikal dan pemilihan pemain adalah tepat. Bukanlah cuba menafikan kekuatan lawan tetapi di atas kertas, Harimau Muda kelihatan lebih baik.
Sentimen penyokong terhadap Harimau Muda dan Elavarasan ketika ini memang tidak begitu baik. Sebelum ini, ada yang mahukan pengendali berusia 61 tahun ini disingkirkan dan digantikan dengan jurulatih baharu dari luar negara.
Namun begitu, apabila semakin menuju ke pembukaan aksi kelayakan, penyokong sudah mula tone down dan kembali optimis menyokong skuad muda negara. Kali ini, penyokong benar-benar mengharapkan kegagalan dalam dua kejohanan lalu memberikan kekuatan kepada Harimau Muda.
Sikh Izhan dan Azim Al Amin bakal jadi taruhan untuk mengawal gawang negara. — Facebook/FAM
"Tutup buku lama, buka buku baru. Buktikan perjalanan kali ini berbaloi," kata penyokong bernama Rozsland Irfan Farisha.
"Semoga berjaya buat skuad muda Harimau Malaya. Aku mimpi Malaysia memang satgi," komen Muhammad Amzar Najmi.
"Semoga Harimau Muda beroleh kemenangan hari ini. Amin," ujar Shamsul Fazili Noor pula.
Ada penyokong yang mengatakan Harimau Muda ini mempunyai pelbagai kelemahan dan itu membuatkan kenapa skuad ini tidak mampu beraksi dengan lebih baik.
Namun begitu, penyokong tetap berharap perubahan dapat dibaiki dan Harimau Muda akan 'mengaum' ganas di Chonburi.
"Skuad ni tak kuat (boleh) nak baca permainan, main berterabur, bahagian tengah tak ada (pemain) kreatif atau cuba buat penetration. Tapi harapnya mereka dapat baiki kesilapan tempoh hari," ulas Keli Bakar.
Baru saja kita lihat sebelum ini Elavarasan dan Harimau Muda dikecam sehebatnya kerana gagal beraksi dengan cemerlang. Namun kini, penyokong kembali hadir memberikan sokongan padu kepada pasukan negara.
Benarlah seperti mana orang kata, busuk-busuk Harimau Malaya, orang kita juga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram