Lepas Harimau Malaya ikat Syria, giliran 'adik' cipta momen manis kecewakan Bangladesh


  • Podium
  • Rabu, 06 Sep 2023

Skuad kendalian E Elavarasan memulakan kempen kelayakan Piala Asia B-23 dengan cukup cemerlang apabila menewaskan Bangladesh 2-0. — Facebook/FAM

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara memulakan kempen kelayakan Piala Asia B-23 dengan langkah kanan apabila mengumpul tiga mata ketika berdepan Bangladesh di Stadium Chonburi, Thailand pada Rabu.

Meskipun menguasai permainan, pasukan muda kebangsaan dilihat buntu untuk memecahkan benteng pertahanan lawan dengan tiada jaringan terhasil pada separuh masa pertama.

Pada babak kedua pula, skuad kendalian E Elavarasan turut berdepan kesukaran untuk mendapatkan kelebihan dalam aksi pembukaan Kumpulan H.

Bagaimanapun, memasuki minit ke-81 permainan, pemain tengah negara, Alif Izwan Yuslan tampil menjadi wira apabila melakukan percubaan dari luar kotak penalti.

Rembatan deras berkenaan menumpaskan penjaga gol Bangladesh, Mehedi Hasan Srabon, sekali gus memberikan kelegaan buat skuad kebangsaan.

375752181_1006812563725313_7427439539866488081_n

Fergus Tierney (tengah) mudah menjaringkan gol kedua buat Harimau Malaya. Facebook/FAM

Tidak lama selepas itu, pasukan negara sekali lagi mendapatkan jaringan apabila pemain gantian, Fergus Tierney mudah mengelirukan benteng pertahanan lawan.

Selepas menerima bola daripada rakan sepasukan, pemain Johor Darul Takzim II (JDT II) itu tenang melorongkan bola ke dalam gawang Bangladesh untuk melebarkan jurang antara kedua-dua pasukan.

Kemenangan itu pastinya cukup menggembirakan peminat bola sepak negara, lebih-lebih lagi apabila ia menyaksikan skuad senior dan muda kebangsaan mampu meraih keputusan memberangsangkan.

Perasaan gembira tersebut dikongsikan di media sosial dengan pengguna Facebook meraikan dua perlawanan tersebut menerusi komen-komen positif di ruangan komen.

"Kerisauan penyokong Harimau Malaya B-23 telah didiamkan dengan kemenangan ini. Teruskan kecemerlangan B-23, kedua-dua gol yang dijaringkan mempunyai kelas tersendiri," kata Musa Ismail.

375546704_1006802197059683_8208206494766413501_n

Skuad senior negara meraihkan keputusan positif ketika berdepan Syria. Facebook/FAM

"Hari yang baik untuk bola sepak Malaysia. Tahniah pasukan junior dan senior," kata Md Azrie.

"Terbaik. Perlawanan walaupun agak perlahan pada awal-awal, tetapi mereka dapat skor dua gol untuk dapat tiga mata. Mantap Harimau Muda kita! Demi lencana di dada," tulis Muhammad Erfan Erman.

Terdahulu dalam satu lagi perlawanan berbeza, pasukan kebangsaan kendalian Kim Pan-gon meraih keputusan seri 2-2 ketika berdepan Syria dalam aksi persahabatan di Chengdu, China.

Selepas ketinggalan pada babak pertama, Harimau Malaya bangkit untuk mengikat kedudukan menerusi dua pemain gantian, iaitu Akhyar Rashid dan Darren Lok.

Selepas ini, skuad Harimau Malaya bakal berdepan ujian kedua menentang China dalam satu lagi aksi persahabatan pada Sabtu (9 September).

Sementara skuad bimbingan Elavarasan pula bakal berdepan Filipina dalam aksi kedua Kumpulan H dalam pertembungan yang bakal berlangsung pada Sabtu di venue yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram