Terlalu fokus Liga Super, Piala Malaysia punca Harimau Malaya malu besar 8 tahun lalu


  • Podium
  • Selasa, 05 Sep 2023

Skuad Harimau Malaya bimbingan Datuk Dollah Salleh ketika itu. — Agensi

TARIKH 3 September 2015, menjadi detik hitam bola sepak negara apabila Harimau Malaya dikejutkan dengan kekalahan besar 0-10 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018.

Ketika itu, bekas pemain kebangsaan, Datuk Namat Abdullah menyifatkan bola sepak Malaysia mengalami malapetaka terburuk dalam sejarah negara berikutan kekalahan tersebut.

Pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 itu, pasukan bimbingan Datuk Dollah Salleh mengejutkan ramai pihak apabila sebahagian besar pemerhati bola sepak juga tidak dapat menerima keputusan tersebut.

HM Kalah besar

Sebahagian aksi skuad kebangsaan berdepan UAE. — Agensi

Lebih memalukan, beliau telah menggunakan ketiga-tiga penjaga gol iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Khairul Azhan Khalid dan Zamir Selamat sebagai pemain gantian tetapi malangnya, taktik tersebut tetap tidak berjaya mengekang gawang negara yang menyaksikan mereka dibolosi tujuh gol pada aksi separuh masa pertama.

Mengulas lanjut, Namat mendedahkan kekalahan itu menjadi satu sejarah hitam dalam bola sepak negara dan beliau menganggap ia berpunca daripada para pemain dan bukannya jurulatih.

"Jika kita ambil contoh situasi sekarang, saya fikir jurulatih import pun tidak mampu menyelamatkan bola sepak kita jika berdasarkan kepada pemain-pemain yang sedia ada.

"Bukan mahu merendahkan kemampuan pemain tempatan tetapi keputusan tersebut (10-0) menunjukkan bahawa kita masih lemah dan tidak memiliki ramai pemain berkualiti untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

"Jurulatih memberi arahan dan pemain-pemain yang melaksanakan tugas. Mungkin mereka terlalu fokus kepada persaingan Liga Super atau Piala Malaysia berbanding memikirkan aksi bersama pasukan kebangsaan.

"Apa yang pasti, ini menunjukkan kita sebenarnya tiada pemain-pemain kerana kita sendiri saksikan Dollah telah menggunakan pemain-pemain yang sama sejak (menjuarai Piala AFF Suzuki) 2010 lalu," katanya ketika itu.

Namat, 69, merupakan bekas kapten skuad bola sepak Pulau Pinang yang berjaya memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Tehran, Iran pada 1974 dan beraksi di Sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972.

Sejurus kekalahan memalukan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan bersedia untuk menggunakan khidmat jurulatih import dalam misi memulihkan kembali reputasi skuad Harimau Malaya.

FAM mengarahkan Ketua Jurulatih Bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee untuk menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya.

Dollah mengesahkan meletakkan jawatan manakala Kim Swee dijangka mengetuai pasukan kebangsaan ketika menanti kunjungan Arab Saudi dalam aksi kelayakan di Stadium Shah Alam ketika itu.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya sekadar mengutip satu mata di dalam Kumpulan A selepas seri 1-1 dengan Timor Leste tewas 0-6 kepada Palestin dan kalah 0-10 kepada UAE sepanjang aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram