Kita buktikan mentaliti Harimau Malaya kepada orang ramai — Pan-gon


  • Podium
  • Rabu, 06 Sep 2023

Pan-gon memuji persembahan serta semangat yang dipamerkan anak-anak buahnya ketika berdepan Syria pada Rabu. — Facebook/FAM

SKUAD kebangsaan mencatatkan satu keputusan positif dalam perlawanan persahabatan Tier 1 apabila mengikat Syria dengan skor 2-2 pada Rabu.

Aksi yang berlangsung di Chengdu, China menyaksikan Harimau Malaya terlebih dulu ketinggalan pada minit ke-12 selepas pasukan lawan membuka jaringan menerusi percubaan Mardik Mardikian.

Tidak cukup dengan itu, tekanan semakin dirasakan skuad kebangsaan apabila Yassin Samia menewaskan penjaga gol negara, Syihan Hazmi beberapa minit sebelum babak pertama melabuhkan tirai.

Kedudukan itu memaksa pengendali pasukan, Kim Pan-gon melakukan beberapa pertukaran, termasuk menggantikan penyerang sayap, Arif Aiman Hanapi dan digantikan dengan Akhyar Rashid.

Percaturan tersebut membuahkan hasil apabila pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu bijak menerima hantaran Endrick dos Santos untuk mendapatkan gol pertama negara pada minit ke-51.

Asakan demi asakan dibuat akhirnya membuahkan hasil apabila Darren Lok bijak menampan bola muntah untuk mendapatkan gol penyamaan kira-kira lima minit sebelum aksi sebenar permainan tamat.

375467618_1006802133726356_7434950406990523664_n

Darren Lok (kiri) menjadi wira negara apabila menjaringkan gol penyamaan. Facebook/FAM

Keputusan berkenaan memberikan satu kegembiraan buat penyokong Harimau Malaya yang cukup berpuas hati dengan prestasi semasa pasukan kebangsaan.

Mengulas akan perlawanan itu, Pan-gon berkata, dia cukup berpuas hati dengan semangat serta kesungguhan dipamerkan anak-anak buahnya sepanjang 90 minit permainan.

"Kita menunjukkan kepada orang ramai mengenai mentaliti pasukan Malaysia, mengenai Harimau Malaya untuk mengikat kedudukan perlawanan.

"Saya amat berpuas hati dengan kesemua pemain, termasuk pemain gantian. Ketika mereka berada di atas padang, mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah situasi permainan," katanya selepas perlawanan.

Tambahnya lagi, perlawanan berdepan China selepas ini akan memberikan peluang buatnya untuk melakukan perubahan dari segi taktikal di samping mengetahui lebih lanjut mengenai kebolehan sebenar pasukan negara.

Meskipun hanya mencatatkan keputusan seri, pasukan kebangsaan masih boleh meraikannya memandangkan keputusan tersebut menghadiahkan 1.4 mata untuk menambah baik kedudukan negara dalam ranking FIFA.

Keputusan itu menyaksikan Harimau Malaya kekal di tangga ke-136, namun membolehkan negara terus menambah baik tempat sebelum aksi Piala Asia berlangsung awal tahun depan.

Selepas ini, skuad kendalian Pan-gon bakal berdepan China dalam satu lagi aksi persahabatan yang bakal berlangsung di Chengdu, China pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram