SEJAK Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih untuk menggunakan khidmat Kim Pan-gon, terdapat perubahan ketara dapat disaksikan mengenai skuad senior Harimau Malaya.
Dia yang dibawa untuk menggantikan Tan Cheng Hoe pada Januari 2022 diberi tugasan untuk menambah baik prestasi skuad negara dalam kalangan pasukan di rantau Asia tenggara.
Peranan tersebut berjaya dipikul dengan cukup baik apabila mereka berjaya mencatatkan keputusan cemerlang di samping mempamerkan persembahan berkualiti.
Antara contoh terbaik untuk menceritakan mengenai kejayaan pengendali kelahiran Korea Selatan itu adalah apabila dia merekodkan statistik kemenangan terbaik berbanding jurulatih pasukan negara sebelum ini.
Dalam 21 aksi yang dikendalikan Pan-gon, skuad Harimau Malaya berjaya mencatatkan kemenangan dalam 15 perlawanan, iaitu kira-kira 72 peratus daripadanya.
Pan-gon berjaya membawa nafas baharu buat Harimau Malaya.
Prestasi memberangsangkan itu menyaksikan kedudukan negara dalam ranking FIFA naik ke tangga ke-136 berbanding tangga ke-145 sebelum kehadiran jurulatih berkenaan.
Pencapaian itu sudah tentu berpunca daripada kebijaksanaan Pan-gon untuk memilih pemain ke kem latihan berpusat serta dalam kesemua perlawanan.
Selain itu, pengendali berusia 54 tahun tersebut juga boleh dikatakan cukup berani sepanjang tempoh pengendaliannya apabila sering memberikan debut buat pemain muda.
Tetapi, sekiranya diperhatikan dalam setiap panggilan Pan-gon ke kem latihan pusat, beberapa pemain masih sukar untuk menerima perhatian meskipun beraksi dengan cukup cemerlang.
Di samping isu kecederaan, pemain-pemain berkenaan turut berdepan cabaran untuk menembusi ke dalam skuad utama kerana tidak sesuai dalam pendekatan taktikal Harimau Malaya.
Oleh itu, Majoriti memilih untuk menyenaraikan tiga pemain yang beraksi dengan cukup cemerlang di peringkat kelab, namun sukar mendapat minit permainan bersama skuad kebangsaan sejak Pan-gon bergelar ketua jurulatih:
1. Rizal Ghazali (Sabah FC)
Selepas bertahun-tahun berkhidmat buat Kedah FA, bek kanan negara, Rizal Ghazali memilih untuk mencari angin baharu apabila menyertai Sabah FC pada 2021.
Langkah tersebut sememangnya satu perubahan positif buatnya apabila dia berjaya menghidupkan semula kariernya sebagai salah seorang pemain pertahanan terbaik negara.
Sepanjang dua musim bersama skuad Sang Badak, pemain berkenaan mengutip 47 penampilan dalam kesemua kejohanan dengan 37 daripadanya hadir dalam saingan Liga Super.
Dalam tempoh itu juga, Rizal berjaya mencatatkan satu pulangan memberangsangkan di hadapan gawang lawan dengan dua gol serta enam gol dalam Piala FA, Liga Super serta Piala Malaysia.
Rizal mempunyai karier cukup cemerlang bersama skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC
Bagaimanapun, catatan itu masih belum cukup untuk menambat hati Pan-gon untuk memberikan penampilan bersama skuad Harimau Malaya.
Ia kerana pengendali tersebut lebih gemar untuk menggunakan khidmat Matt Davies sebagai bek kanan sementara Azam Azmi Murad dan Quentin Cheng diberikan peranan sebagai pemain gantian.
Cabaran tersebut menyaksikan Rizal terpaksa menunggu untuk mendapatkan minit permainan buat pasukan kebangsaan meskipun dia terus cemerlang buat Sabah FC.
Untuk rekod, kali terakhir pemain berusia 30 tahun itu menyarung jersi Harimau Malaya adalah pada 10 September 2021 ketika mereka berdepan Uzbekistan dalam aksi persahabatan.
2. Afiq Fazail (Johor Darul Takzim)
Keputusan Pan-gon untuk jarang membawa masuk pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT), Afiq Fazail sering menimbulkan tanda tanya.
Sejak mencipta debut bersama skuad Harimau Selatan pada 2017, anak jati Pontian, Johor tersebut terus dianggap sebagai antara pemain terbaik di posisinya.
Di samping tenang ketika mengawal bola, Afiq turut mempunyai kebolehan untuk beraksi dengan pelbagai peranan, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.
Ini dapat dibuktikan apabila dia sering diletakkan dalam kesebelasan utama JDT meskipun terdapat perubahan dari segi taktikal daripada ketua jurulatih.
Afiq merupakan salah seorang pemain tengah bertahan terbaik negara. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Tidak cukup dengan itu, kecemerlangannya turut diiktiraf ketika Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 dengan dia dipilih sebagai pemain tengah terbaik negara.
Namun, setakat ini, pemain berusia 28 tahun tersebut hanya mengumpul empat penampilan bersama skuad kebangsaan dengan pertemuan menentang Indonesia pada 2019 merupakan aksi terakhirnya.
Antara teori yang sering diberikan orang ramai atas kekurangan minit permainan Afiq bersama Harimau Malaya adalah mengenai kesesuaiannya dalam taktikal Pan-gon.
Selain itu, kecenderungannya untuk menurunkan Brendan Gan di posisi berkenaan turut menyekat tonggak JDT itu daripada mengumpul kaps kebangsaan dengan lebih kerap.
3. Fadhli Shas (Sri Pahang FC)
Jika dilihat kepada karier bek tengah berusia 32 tahun, Fadhli Shas musim lalu, pemain tersebut boleh dikatakan sudah melepasi kemuncak permainanya.
Ini kerana dia bergelut sepanjang tempoh pinjamannya bersama Melaka United yang disertainya selepas bertahun-tahun memanaskan bangku simpanan di JDT.
Bagaimanapun, musim ini, pemain kelahiran Lumut, Perak itu menghidupkan semula kariernya apabila menyertai Sri Pahang FC secara pinjaman.
Kehadirannya boleh dianggap sebagai nadi utama buat pasukan kendalian Fandi Ahmad itu memandangkan Fadhli sudah meraih 16 penampilan dalam Liga Super.
Pengalaman Fadhli Shas boleh membantu skuad Pan-gon ketika ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Lebih membanggakan lagi, pertahanan kental itu turut merekodkan dua jaringan peribadi musim ini dengan kedua-duanya hadir menerusi tandukan ketika berdepan Kelantan FC.
Kebangkitan itu dilihat sudah cukup untuk meletakkannya sebagai antara pilihan buat Pan-gon dalam mengukuhkan lagi benteng pertahanan Harimau Malaya.
Selain itu, Fadhli juga mempunyai kelebihan dari segi pengalaman memandangkan dia merupakan salah seorang pemain yang masih aktif sejak kejayaan Piala AFF 2010.
Bagaimanapun, setakat ini, pemain dengan ketinggian 1.82 meter itu masih menanti-nantikan minit permainan bersama skuad kebangsaan di bawah kendalian Pan-gon.
Untuk rekod, perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dengan Mongolia pada 22 Mac 2018 merupakan kali terakhir Fadhli menyarung jersi negara dengan ia juga merupakan penampilan ke-51 buatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram