[VIDEO] Kesilapan 'keeper' muda Singapura buat The Cubs kempunan berdepan kelab Thailand


  • Podium
  • Rabu, 06 Sep 2023

Jarec (baju hijau) gagal mengawal hantaran mudah daripada rakan sepasukannya sebelum bola tergolek ke dalam pintu gol sendiri.

SELEPAS tujuh tahun menyepi, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) memilih untuk kembali menganjurkan Piala Lion City yang merupakan edisi ke-27.

Kejohanan singkat yang diadakan untuk skuad muda menyaksikan empat pasukan menyertainya, iaitu skuad Bawah 15 Tahun (B-15) Singapura, Selangor FC (Malaysia), BG Pathum United (Thailand) serta Borneo FC (Indonesia).

Jadi, selepas perlawanan awal berlangsung, dua pasukan berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir, iaitu BG Pathum United serta skuad B-15 Singapura.

Perhatian pastinya diberikan dalam kalangan penyokong bola sepak di negara tersebut untuk melihat sekiranya pemain muda mereka mampu menghidupkan semula zaman kegemilangan pasukan.

Tetapi, dalam aksi final Piala Lion City yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Isnin, satu insiden mengejutkan disajikan kepada ribuan penyokong yang hadir.

Beberapa saat selepas perlawanan dimulakan, pertahanan skuad B-15 Singapura, Ahmad Ilhan Rizqullah gagal berhubung dengan penjaga gol, Jarec Ng dengan baik.

Kesilapan itu menyaksikan hantarannya ke belakang gagal dibaca penjaga gawang tersebut sebelum bola bergolek dengan perlahan ke dalam jaring pasukannya sendiri.

Gol tersebut menyaksikan BG Pathun United berada di depan, sekali gus memberi tekanan buat tuan rumah untuk membuat gerakan lebih kemas sepanjang permainan.

371366621_687996360034743_8192362469958404084_n

Pemain muda Singapura kelihatan kecewa ketika penentuan sepakan penalti. Facebook/FAS

Bagaimanapun, usaha mereka kemudiannya membuahkan hasil apabila pada minit ke-78, sepakan penjuru Nathan Mao gagal dibaca pasukan pelawat sebelum penjaga gol Thailand, Kittiphob Poomee tertolak bola ke dalam gawang sendiri.

Namun, kegembiraan itu tidak berkekalan apabila skuad B-15 Singapura sekali lagi kempunan untuk menjuarai kejohanan terbabit apabila mereka tewas dalam penentuan sepakan penalti.

Pada masa sama, momen mengejutkan antara Ilhan serta Jarec Ng pasti sukar dilupakan dengan klip pendek daripada kesilapan itu sudah dikongsikan di pelbagai platform media sosial. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram