Risau Harimau Selatan 'lemau', 3 kelab jadi pilihan aksi pemanas badan sebelum ACL


  • Podium
  • Sabtu, 02 Sep 2023

Kesebelasan utama JDT ketika beraksi menentang Kedah Darul Aman FC baru-baru ini.

PASUKAN Johor Darul Takzim (JDT) dijangka berehat lama selepas Liga Super berhenti seketika untuk memberi laluan kepada skuad kebangsaan menjalani dua perlawanan persahabatan di Chengdu, China.

JDT yang diundi dalam Kumpulan I dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) akan memulakan perlawanan pertama menentang Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 19 September nanti.

Selain Kawasaki Frontale, Harimau Selatan akan beraksi menentang naib juara Liga Thailand, BG Pathum United dan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai untuk membukitkan kejaguhannya dalam peringkat Asia.

Namun begitu, penyokong JDT berharap pihak pengurusan dalam mengadakan perlawanan persahabatan menentang kelab luar negara untuk mengekalkan momentum setiap pemain-pemain Harimau Selatan.

Majoriti senaraikan tiga kelab yang sesuai buat JDT jika ingin mengadakan perlawanan persahabatan sepanjang tempoh berehat Liga M:

LCS

LCS diberi jolokan 'JDT Singapura' oleh penyokong tempatan.

1. Lion City Sailors (Singapura)

Antara pasukan paling dekat dengan Johor, Lion City Sailors (LCS) antara wakil Singapura yang menyertai ACL 2023/24 dalam Kumpulan F bersama Jeonbuk Hyundai (Korea Selatan), Bangkok United (Thailand) dan Kitchee SC (Hong Kong).

Mempunyai pemain import yang berkualiti, LCS boleh menjadi antara lawan yang sesuai buat JDT untuk memanaskan badan sepanjang liga berehat sekali gus mengetahui kualiti pasukan yang diberi gelaran 'JDT Singapura'.

Tambahan kos untuk ke Singapura juga tidak mahal berbanding pergi Dubai untuk beraksi menentang pasukan-pasukan yang lebih baik.

LCS musim ini dibarisi pemain import yang mempunyai pengalaman beraksi di Eropah seperti Bailey Wright, Diego Lopes, Richairo Zivkovic, Rui Pires dan Maxime Lestienne.

Bangkok United

Heberty pernah beraksi bersama Bangkok United sebelum ke JDT.

2. Bangkok United (Thailand)

Bangkok United antara calon sesuai buat JDT bagi melakukan persiapan rapi menentang BG Pathum United dalam ACL 2023/24.

Naib juara Liga Thailand musim lalu, kini berada di tangga pertama Liga Thailand selepas tiga perlawanan musim ini.

Musim ini, Bangkok United mempunyai lima pemain import iaitu Amadou Soukouna, Mahmoud Eid, Everton, Bassel Jradi dan Vander Luis.

Pemain import baharu JDT, Heberty Fernandez juga beraksi bersama Bangkok United sebelum berhijrah ke JDT secara pinjaman semasa jendela perpindahan kedua Liga Super musim ini.

Untuk menjimatkan kos, JDT mungkin boleh menjemput Bangkok United bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi perlawanan persahabatan itu.

Pohang Steelers

Pohang kini sedang merebut gelaran kejuaraan K League 1.

3. Pohang Steelers (Korea Selatan)

Antara pencabar terdekat Ulsan Hyundai untuk merebut kejuaraan K League 1 (Korea Selatan), Pohang Steelers boleh menjadi medan percubaan JDT untuk mengenali corak permainan pasukan daripada Jepun dan Korea Selatan.

Ini kerana JDT diundi bersama Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale dalam Kumpulan I yang mana Harimau Selatan pernah bertembung dengan dua pasukan itu pada tahun lepas.

Pohang turut berada di kejohanan ACL musim ini apabila diundi dalam Kumpulan J bersama Wuhan Three Towns FC, Hanoi FC dan Urawa Reds.

Mungkin sukar untuk melihat perlawanan persahabatan ini berlaku kerana kos dan masa yang terlalu singkat, namun apa pun boleh terjadi di bawah pengurusan Tengku Mahkota Johor (TMJ). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram