Cabaran dan debaran 3 lawan menanti Sabah FC dalam saingan Piala AFC


  • Podium
  • Sabtu, 02 Sep 2023

Sabah FC akan bersama-sama Terengganu FC membawa cabaran Malaysia dalam saingan Piala AFC.

KELAB Liga Super, Sabah FC akan menempuh satu lagi perjalanan menarik dalam kalendar bola sepak mereka apabila menyertai Piala AFC.

Dengan baki perlawanan Liga Super semakin berkurang dan kempen Piala Malaysia memasukki separuh perjalanan, Sabah FC kini mempunyai aksi tambahan apabila membawa nama negara di peringkat Asia.

Penyertaan dalam Piala AFC akan membuatkan Sabah FC akan bertandang ke Singapura, Indonesia dan juga Vietnam untuk bertemu Hougang United, PSM Makassar dan Haiphong FC.

Tapi siapakah mereka ini? Pemerhatian Majoriti akan merungkai secara ringkas mengenai siapakah mereka dan apakah kekuatan dimilik kesemua lawan Sang Badak.

1. Hougang United

Kelab Singapura ini merupakan pemenangan Piala Singapura pada musim lalu dan kerana itu mereka layak ke saingan Piala AFC. Kini menduduki tangga keenam liga dengan 29 mata (9 menang, 2 seri, 12 kalah), ia tidak jauh dengan kedudukan Hougang pada musim lalu (kelima - 29 mata).

Pasukan ini jelas merupakan kelab kelas pertengahan Singapura dan ini terbukti menerusi rekod bolos mereka. Pasukan ini telah melepaskan 52 gol musim ini dalam saingan domestik Singapura sambil hanya mampu menjaringkan 37 jaringan sahaja.

ufm (1)

Hougang United merupakan juara Piala Singapura musim lalu. — Facebook/Hougang United FC

Ini memberikan isyarat yang mereka adalah pasukan yang boleh dibolosi dengan mudah jika taktikal baik digunakan Datuk Ong Kim Swee. Pasukan ini juga mempunyai pemain yang kerap menerima kad kuning iaitu Jordan Vestering.

Vestering merupakan pertahanan yang sudah mengutip lima kad kuning untuk Hougang - tertinggi untuk kelab itu dalam Liga Singapura. Oleh itu, jika pemain Sabah FC bijak menghidu peluang untuk memastikan pemain ini dibuang padang, pasti ia memberikan kelebihan buat Sang Badak.

2. PSM Makassar

Juara saingan Liga 1 Indonesia musim lalu menang bergaya apabila menewaskan dua gergasi bola sepak negara tersebut iaitu Persib Bandung dan Persija Jakarta untuk mendakap piala.

Namun pada musim ini, Makassar bermula dengan agak perlahan apabila cuma menghuni tangga kesepuluh selepas 10 aksi liga. Mereka mengutip 14 mata (4 menang, 2 seri, 4 kalah).

368260449_843543513798188_8590400597227648554_n

Pertemuan menentang PSM Makassar dianggap pasti akan menambah rencah kepada perseteruan antara Malaysia dan Indonesia. — Facebook/PSM Makassar

Rekod mereka dilihat agak baik. Setakat ini, Makassar sudah menghasilkan 12 gol dan bolos 11, oleh itu Sabah FC perlu berhati-hati dengan mereka kerana walaupun kelab ini bocor di belakang tetapi masih mampu menggegar gawang lawan.

Terdapat dua pemain yang boleh diambil peluang ketika Sabah FC bertemu mereka iaitu Zulkifli Syukur dan Abdul Rachman yang kedua-duanya sudah mengutip lapan kad kuning musim ini.

Perhatian harus diberikan kepada pemain Jepun mereka iaitu Kenzo Nambu, pemain ini merupakan penjaring terbanyak Makassar setakat ini dengan 12 gol.

Berdasarkan prestasi semasa dan kebolehan Makassar, mereka boleh menjadi lawan sukar buat Sabah FC kelak.

3. Haiphong FC

Naib juara saingan domestik Vietnam musim lalu ini juga merupakan lawan yang tidak boleh dipandang enteng oleh Sabah FC.

Haiphong FC setakat ini dalam saingan liga menduduki tangga kelima dengan mengutip 19 mata daripada 13 perlawanan (4 menang, 7 seri, 2 kalah). Rekod jaringan-bolos mereka adalah sama dengan Makassar jadi Haiphong FC adalah pasukan yang boleh bolos dan menggegar gawang lawan.

Rimario_2007074336

Sabah FC perlu mengikat ketat pergerakan Rimario Gordon. — Agensi

Terdapat seorang pemain yang perlu diberikan perhatian serius oleh Sabah FC jika bertemu Haiphong iaitu Rimario Gordon. Penyerang dari Jamaica itu telah menjaringkan 17 gol setakat ini dalam saingan V-League - tujuh gol di depan Pham Tuan Hai di tangga kedua.

Selain tajam di depan gol, Gordon juga merupakan pemain paling tidak berdisiplin musim ini dengan dia sudah mengutip enam kad kuning. Itu adalah jumlah terbanyak dilakukan oleh pemain Haiphong.

Selain itu, terdapat seorang pemain yang pernah dibuang padang iaitu Vu Ngoc Thinh. Dia telah mengutip satu kad merah setakat ini.

Peluang terbuka untuk Sang Badak

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, Sabah FC mempunyai peluang yang terbuka dalam kumpulan ini untuk mara ke pusingan seterusnya.

Kedua-dua Makassar dan Haiphong merupakan pasukan yang perlu diberikan perhatian lebih kerana mereka mempunyai kekuataan tersendiri sementara Sabah FC dijangka tiada masalah untuk mengutip enam mata penuh bertemu Hougang.

Namun begitu, Sabah FC perlu yakin dengan diri sendiri dan tidak terlalu menghormati lawan. Jika Kuala Lumpur City FC berjaya kalahkan Makassar musim lalu, tak akan Sang Badak tak boleh? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram