Tragedi hitam bola sepak Malaysia, pesanan terakhir Razman Roslan sebelum 'dibedil' UAE hampir sedekad lepas


  • Podium
  • Ahad, 03 Sep 2023

Kesebelasan utama Harimau Malaya ketika beraksi menentang UAE pada 2015.

TARIKH 3 September 2015, menjadi detik hitam bola sepak negara apabila Harimau Malaya dikejutkan dengan kekalahan besar 0-10 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018.

Keputusan itu juga terus menenggelamkan kekalahan memalukan 0-6 ketika menentang Palestin di Stadium Nasional Bukit Jalil beberapa bulan sebelumnya.

Berikutan kekalahan besar ketika berdepan UAE, jurulatih skuad negara ketika itu, Datuk Dollah Salleh mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai pengendali utama Harimau Malaya.

Meskipun dibarisi pemain-pemain bintang Liga Malaysia seperti Khairul Fahmi Che Mat, Zubir Azmi, Safiq Rahim, S. Kunanlan dan Amri Yahyah masih tidak boleh menghalang asakan UAE daripada terus membolosi gawang gol Harimau Malaya.

Namun adakah anda tahu sebelum perlawanan UAE, lapan tahun lalu Razman pernah memberikan kata-kata semangat terakhir buat semua pemain Harimau Malaya.

Malaysia captain, Mohd Razman Roslan (right) with Liverpool captain Jordan Henderson holding friendly trophy after finish the friendly match between Malaysia Selection with Liverpool FC in National Stadium Bukit Jalil at Kuala Lumpur. FAIHAN GHANI/The Star.

Razman pernah mewakili skuad Pilihan Malaysia menentang Liverpool FC pada 2015.

Menurut laporan The Star, bertarikh 3 September 2015, Razman berkata, Harimau Malaya perlu menghadapi UAE walaupun ia sesuatu yang sukar.

"Saya jangka pasukan akan jadi lebih baik daripada pengalaman terdahulu.

"Kami perlu menghadapinya, sama ada kami suka atau tidak.

"Kedudukan (ranking) itu tidak penting lagi, kami perlu menerima cabaran dan menghadapi apa jua yang bakal terjadi," katanya ketika itu.

Tambahnya lagi, ketika itu dia yakin dengan kesemua pemain yang dipilih oleh Dollah telah banyak belajar daripada kesilapan perlawanan terdahulu.

"Saya harap kami tidak akan membiarkan UAE menewaskan kami sekali gus berjanji memberika persembahan yang terbaik.

"Selepas menonton dua perlawanan pembukaan, saya rasa kita perlu minimumkan kesilapan semua pemain.

"Jika kami memberikan gol mudah ia akan menyebabkan Harimau Malaya tewas dengan margin yang sangat besar.

"Saya pasti semua orang telah mengambil pengajarannya daripada perlawanan terdahulu," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram