Peluang buktikan siapa 'king of ubi', adakah JDT mampu rampas Piala Belia dari tangan Gergasi Merah?


  • Podium
  • Ahad, 03 Sep 2023

Antara pemain-pemain utama buat kedua-dua pasukan.

DUA gergasi kelab Liga Malaysia (Liga M) bakal berentap di pentas final Piala Belia 2023 selepas menundukkan lawan masing-masing dengan jaringan agregat yang besar pada separuh akhir.

Dua pasukan itu ialah Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC yang bakal menentukan siapakah paling layak menjulang trofi kejohanan Piala Belia musim ini.

Selangor sebelum ini membenam cabaran Terengganu FC dengan agregat 8-3 manakala JDT menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) menerusi keputusan 6-2 secara perlawanan timbal balik.

Gergasi Merah pastinya mahu mempertahankan kejuaraan musim lalu daripada dirampas oleh anak-anak buah Juanmi Munoz dengan mengharapkan penjaring terbanyak liga, Izzat Syahir mampu membantu mereka.

Untuk rekod, pasukan Belia Selangor tidak pernah tewas dalam kesemua perlawanan dari peringkat kumpulan hingga pentas akhir yang dijadualkan berlangsung pada 9 September nanti.

Bagi yang tidak mengikuti perkembangan Piala Belia, ia adalah kejohanan bola sepak dikelolakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memberi peluang kepada pemain berumur bawah 19 tahun.

Piala Belia

Peringkat kalah mati Piala Belia 2023.

Meskipun hanya perlawanan Piala Belia, tetapi jika melibatkan pertembungan JDT dan Selangor pastinya hangat dalam sosial media di antara kedua-dua penyokong.

Dengan perlawanan akhir itu, beberapa penyokong sudah mula 'troll' pasukan lawan dan ada yang mengatakan ini bakal menjadi perlawanan untuk membuktikan pemain muda pasukan mana paling berkualiti.

"Inilah masanya untuk penyokong menutup mulut pihak lawan yang selalu 'claim' ubi mereka paling terbaik dalam Malaysia," kata Aziz M.

"Harap Selangor dapat kekalkan Piala Belia di bumi Darul Ehsan, biarlah tidak menjuarai Liga Super, tetapi terus melahirkan pemain berbakat buat negara," ujar Daud Hashim.

"Sejak ada Akademi JDT, dah mula nampak hasil akar umbi dan beberapa pemain sudah mula dapat peluang dengan skuad utama, harap boleh tambah koleksi trofi dengan julang Piala Belia," jelas Rahman Zaid.

Perlawanan akhir Piala Belia musim ini akan dilangsungkan secara aksi timbal balik pada Sabtu (9 September) dan 17 September 2023 sekali gus bakal menantikan pasukan manakah yang akan membawa balik trofi kejohanan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram