FABRIZIO Romano merupakan wartawan sukan yang tidak asing lagi bagi peminat bola sepak dunia.
Sebaik sahaja jendela perpindahan pemain dibuka, khususnya di liga-liga ternama Eropah, akaun media sosial miliknya antara yang paling diikuti rapat oleh semua peminat.
Dia dianggap sebagai 'pakar' dalam mendedahkan dan menyampaikan berita perpindahan pemain bola sepak.
Malah, ketepatan serta kesahihan berita melibatkan perpindahan seseorang pemain itu juga tidak diragui mana-mana pihak.
Apabila perkataan ‘Here We Go’ disertakan dalam hantarannya, keterujaan para peminat semakin membuak-buak.
Ini kerana, perkataan tersebut menjadi petanda bahawa seseorang pemain itu sudah sah berpindah ke pasukan baharu.
Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana dia mendapatkan berita perpindahan pemain selama ini? Umum mengetahui, segalanya belaku di sebalik tabir dan kelab biasanya mahu menyembunyikan berita perpindahan itu sebaik mungkin.
Bagaimanapun, ketika tampil dalam podcast di saluran Youtube, The Rest Is Football baru-baru ini, pertanyaan majoriti peminat bola akhirnya terjawab.
Fabrizio dalam podcast tersebut mendedahkan salah satu cara bagaimana dia mendapatkan sumber berita selama ini.
Katanya, dengan kemunculan pelbagai platform media sosial, khususnya Instagram, komunikasinya dengan pemain-pemain bola sepak menjadi mudah.
Jika sebelum ini, dia banyak bergantung dengan ejen-ejen pemain, namun hari ini ramai pemain sendiri yang menghubunginya dan berkongsi sendiri berita perpindahan mereka.
"Ada kalanya saya menghubungi sendiri pemain untuk mendapatkan maklumat, ada juga pemain sendiri yang menghubungi saya dan berkongsi berita.
"Malah, ada juga pemain yang meminta saya menyebut tentang mereka kerana mereka mahu meninggalkan kelab yang sedang mereka wakili.
"Ia terasa pelik, namun ada nama-nama bintang bola sepak berhubung dengan saya untuk mendapatkan berita atau berkongsi maklumat,” katanya.
Dia kemudian mendedahkan bahawa berita perpindahan paling penting dalam kariernya adalah melibatkan perpindahan Bruno Fernandez ke Manchester United.
Berita berkenaan mengubah hidupnya sebagai wartawan sukan.
Katanya, berita itu hanya diperoleh selepas dia menghabiskan sepanjang musim panas memberitahu peminat United bahawa perpindahan itu tidak akan berlaku.
"Mereka begitu marah dan menegaskan perpindahan itu akan berlaku.
"Sumber-sumber dari Portugal dan United berkata begitu, tetapi saya kata, 'tidak', dia tidak akan menyertai United.
"Tetapi pada Januari, saya menerima sekeping gambar Bruno bersama ejennya berada di dalam pesawat peribadi sedang menuju ke United sekali gus detik itu mengubah hidup saya,” jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram