'Kami di fasa terakhir, kerja-kerja perobohan akan dibuat', MB Selangor 'update' status Stadium Shah Alam


  • Podium
  • Ahad, 03 Sep 2023

Konsep stadium baharu Shah Alam dijangka mampu menampung kapasiti 35,000 hingga 45,000 tempat duduk dalam sesuatu masa.

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan proses pembinaan semula Stadium Shah Alam, Selangor di landasan tepat.

Beliau menegaskan operasi perobohan dan permulaan kerja tanah bakal dijalankan tahun ini sepertimana yang dirancang dan ia dijangka bermula sekitar bulan depan, lapor Stadium Astro.

Beliau turut memaklumkan pengumuman lanjut mengenai perkembangan terkini pembinaan semula Kompleks Sukan Shah Alam akan diumumkan dalam tempoh masa terdekat.

Stadium baru itu dijangka siap sepenuhnya pada 2026 dengan kapasiti sekitar 35,000 hingga 45,000 penonton pada satu-satu masa.

"Kami di fasa terakhir dan akan umumkannya dalam masa terdekat (seperti tentang) bila ia akan bermula.

"Kami baru selesai mesyuarat, ada beberapa langkah yang perlu dibuat dan dilaksanakan.

"Tahun ini kerja-kerja perobohan akan dibuat dan permulaan kerja tanah.

"Kami memang patut umum bulan ini (September) tapi perlu tunggu kelulusan," katanya dalam Program FitMalaysia Selangor di Kuala Langat, Selangor pada Sabtu.

Stadium Shah Alam

Stadium baharu Shah Alam Stadium dijangka siap pada 2026.

Sebelum ini, pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyifatkan kos RM700 juta untuk pembinaan semula Stadium Shah Alam sebagai tidak logik.

Sebaliknya, Tunku Ismail berkata, teknologi yang bakal digunakan di stadium itu sangat canggih dan memerlukan sekurang-kurangnya RM2 bilion untuk menyiapkannya.

"SSI (Stadium Sultan Ibrahim) RM400 lebih juta sahaja. Stadium ini (Stadium Shah Alam) sekurang-kurangnya RM2 bilion kerana mempunyai teknologi yang tinggi. RM700 juta lebih tidak logik," katanya dalam satu komen di laman Instagram.

Konsep stadium baharu Shah Alam itu telah diperkenalkan kepada umum yang dijangka mampu menampung kapasiti 35,000 hingga 45,000 tempat duduk dalam sesuatu masa.

Stadium itu yang dijangka siap pada 2026 bakal dilengkapi papan skor elektronik, ruang legar mesra orang kelainan upaya (OKU), ruang korporat dan bilik persalinan.

Selain itu, stadium berkenaan dilengkapi kawalan kelembapan dalaman, 'ETFE ceramic coating' dan sistem penyejukan tempat duduk selain mempunyai teknologi 'retractable pitch' iaitu bertukar daripada mod sukan kepada acara dalaman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram