Serangan bersenjata korbankan pemain bola sepak Panama


  • Benua
  • Selasa, 05 Sep 2023

Gilberto Hernandez maut dalam satu kejadian tembakan di bandar pelabuhan Colon.

PEMAIN pertahanan skuad antarabangsa Panama, Gilberto Hernandez maut dalam satu kejadian tembakan di negara asalnya, kata polis menurut laporan Agensi Berita Jerman (DPA) pada Selasa.

Pemain berusia 26 tahun yang bermain untuk kelab divisyen satu Club Atletico Independiente de La Chorrera dan pasukan kebangsaan Panama, meninggal dunia dalam serangan bersenjata ke atas sekumpulan individu di bandar pelabuhan Colon, pada Ahad, menurut polis.

Seorang suspek kejadian telah ditahan, kata pihak berkuasa pada Isnin.

Menurut maklumat, serangan itu mungkin berpunca daripada perselisihan antara kumpulan penjenayah yang bertelagah. Tujuh orang lagi cedera.

Hernandez membuat penampilan sulungnya untuk pasukan kebangsaan dalam perlawanan menentang Guatemala pada Mac.

Beberapa hari kemudian, beliau menjadi sebahagian daripada pasukan Panama yang mengalahkan Argentina dalam perlawanan persahabatan pertama mereka selepas memenangi Piala Dunia di Qatar, di mana pemain bintang Lionel Messi menjaringkan gol kompetitifnya yang ke-800.

Persekutuan bola sepak dan liga Panama menyatakan kekesalan di atas kematian Hernandez.

"Pada masa yang sukar ini, kami mengucapkan takziah dan sokongan yang tulus kepada keluarga dan rakan-rakan," kata liga itu dalam hantaran di platform media sosial X (Twitter). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram