Pernah timba ilmu di Sepanyol, bek berdarah kacukan jadi harapan masa depan Harimau Kumbang


  • Podium
  • Rabu, 06 Sep 2023

Skuad Harimau Kumbang perlu melakukan perubahan drastik untuk mengubah nasib buruk mereka ketika ini. — Facebook/Penang FC

LAPAN kekalahan dalam kesemua pertandingan merupakan satu petanda buruk buat Penang FC yang semakin jatuh merudum dalam carta Liga Super ketika ini.

Selepas beraksi dalam 10 perlawanan, pasukan Utara tanah air itu berada di tangga ke-10 dengan hanya 19 mata berjaya dikutip hasil lima kemenangan dan empat keputusan seri.

Kedudukan mereka itu boleh dianggap ibarat telur di hujung tanduk memandangkan pencabar terdekat, Perak FC kini hanya dibezakan dengan tiga mata berbanding skuad Harimau Kumbang.

Situasi tersebut menyaksikan rata-rata penyokong kelab berkenaan mendesak satu perubahan drastik dapat diambil sebelum keadaan lebih buruk terpaksa ditempuh.

Mendengar akan keluhan itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang yang baharu, Gooi Zi Sen dilihat sudah mula mengambil langkah awal untuk membawa perubahan buat skuad Harimau Kumbang.

Antara pendekatan yang mula diambil adalah apabila Penang FC mengumumkan khidmat pengarah teknikal kelab, Kamal Kalid serta pengurusnya, Ong Eng Hua sudah ditamatkan 28 Ogos lalu.

372637356_793113229483840_1133842913735717333_n

Pertemuan yang dibuat antara Zi Sen dengan pihak kejurulatihan serta pemain Penang FC. Facebook/Daniel Gooi 魏子森

Langkah tersebut seperti menerima pujian ramai memandangkan mereka melihat kedua-dua individu berkenaan sudah tidak lagi sesuai untuk berada dalam pihak pengurusan kelab.

Meskipun pengganti mereka masih belum diumumkan sehingga hari ini, ia dianggap sebagai satu langkah berani daripada Ahli DUN Padang Lalang itu untuk mengubah nasib skuad Harimau Kumbang.

Namun, langkah Pengerusi Lembaga Penang FC baharu itu seperti tidak terhenti di situ apabila pada Isnin, satu sesi libat urus sudah diadakan untuk membincangkan hala tuju dan situasi terkini pasukan.

Berdasarkan pertemuan berkenaan, dilihat kesemua pihak terlibat, termasuk ketua jurulatih, Chong Yee Fatt serta kapten pasukan, Rafael Vitor untuk menjayakan mesyuarat yang diadakan di Komtar, Pulau Pinang.

Usaha berkenaan sudah pasti memberikan keterujaan buat penyokong Penang FC dengan rata-rata pengguna Facebook sempat meninggalkan respons positif di laman media sosial Zi Sen.

318668507_709059363909532_2470419307774368782_n

Yamaguchi masih belum menerima sebarang minit permainan bersama skuad senior Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Tetapi, di sebalik kata-kata yang membanjiri ruangan komen, harapan daripada seorang peminat setia kelab itu, Waghih Bayai Jacob boleh dianggap sebagai antara yang paling menarik.

"Permintaan mudah saya, jangan abaikan Ryu Yamaguchi. Dia adalah anak Penang dan sepatutnya diusahakan untuk jadi pemain warisan.

"Besar harapan agar pihak kejurulatihan boleh membangunkan dia berdasarkan pengalamannya di Malaga City FC di Sepanyol kerana dia adalah aset yang berpotensi untuk digilap sebagai pemain pertahanan negara," tulisnya.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, pengguna Facebook tersebut ialah bekas Ahli Lembaga Pengarah Penang FC, Datuk Norazmi Narawi yang bersama-sama pasukan tersebut musim lalu.

Khidmatnya kini difahamkan sudah tidak lagi ditagih skuad Harimau Kumbang, namun ia dilihat sebagai satu perkongsian bernas untuk membangunkan karier Ryu Yamaguchi.

Pemain berkenaan pernah beraksi bersama beberapa akademi bola sepak di beberapa negara, termasuk Malaga City FC di Sepanyol serta Stoke City Football di Shanghai, China.

Bek tengah berdarah kacukan Malaysia-Jepun itu bagaimanapun tidak berjaya mengukuhkan tempatnya dalam skuad kendalian Yee Fatt dengan dia masih belum mencatatkan sebarang penampilan bersama pasukan senior.

Ini kerana barisan kejurulatihan kelab dilihat lebih gemar untuk menggunakan gandingan Vitor serta pertahanan import Myanmar, Zaw Min Tun untuk hampir keseluruhan aksi Liga Super.

Kesukarannya untuk mendapatkan minit permainan pastinya akan mengganggu perkembangannya dalam dunia bola sepak, sekali gus menyaksikannya dilupakan penyokong pasukan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram