Import 'kaki kaca' Perak kini jadi staf penting Chelsea


  • Podium
  • Rabu, 06 Sep 2023

Alysson kini boleh dianggap sebagai antara tulang belakang buat salah sebuah kelab gergasi EPL itu. — Agensi

SEKIRANYA melihat kepada lipatan sejarah bola sepak negara, Perak FC boleh dianggap sebagai salah sebuah pasukan tempatan yang gemar menggunakan khidmat pemain import dari Brazil.

Ronaldo, Guilherme de Paula dan Careca merupakan antara contoh terbaik untuk menyokong pandangan berkenaan, lebih-lebih lagi apabila masing-masing boleh dianggap sebagai tonggak pasukan terbabit.

Namun, sekiranya ditanya kepada penyokong tegar skuad The Bos Gaurus (TBG), mereka pastinya tidak dapat melupakan pemain yang tiba dari negara Amerika Selatan itu.

Alysson Marendaz Marins yang tiba pada 2005 mempunyai reputasi cukup baik sepanjang berada di Brazil memandangkan dia pernah mengumpul pengalaman di salah sebuah kelab di sana iaitu Vasco da Gama.

Bagaimanapun, harapan untuk menyaksikannya sebagai seorang penyerang unggul tidak kesampaian apabila pemain tersebut sering bergelut dengan isu kecederaan.

Screenshot_20230905_190133_Instagram

Alysson ketika menyarung jersi skuad TBG.

Lebih menyedihkan lagi, pemain tersebut hanya tampil sebanyak sekali sepanjang setahun bersama skuad TBG, sekali gus meletakkan namanya sebagai antara import paling mengecewakan buat kelab berkenaan.

Pulangan yang tidak berbaloi itu akhirnya mendesak pihak pengurusan untuk tidak menyambung kontrak Alysson sebelum pemain berkenaan memilih untuk menyertai kelab berpangkalan di China, Beijing Guoan.

Namun, baru-baru ini, namanya kembali meniti bibir penyokong Perak FC apabila dia diumumkan sebagai pemantau bakat buat kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

Berita tersebut disebarkan menerusi satu perkongsian di laman Instagram Alysson dengan disertakan mesej penghargaan ditujukan buat kenalan rapatnya.

WhatsApp Image 2023-09-06 at 15.08.13

Tangkap layar daripada mesej yang ditulis Alysson kepada kenalan rapatnya.

"Saya teruja untuk memaklumkan bahawa bermula hari ini, saya akan memulakan langkah baharu dalam karier saya bersama Chelsea. Saya berasa cukup gembira untuk bekerjasama bersama salah sebuah pasukan terbaik di dunia.

"Terima kasih diucapkan kepada ahli keluarga serta bini saya yang sering bersama saya sepanjang masa ini. Hanya mereka yang percaya dengan proses akan menikmati usahanya," tulisnya pada 18 Julai lalu.

Sebelum ini, Alysson difahamkan terlibat dengan sebuah kelab di Brazil, Corinthians sebagai pemantau bakat selama sembilan tahun.

Peluangnya untuk membuktikan kebolehannya bersama sebuah pasukan hebat seperti Chelsea pastinya akan menaikkan lagi namanya di mata kelab-kelab gergasi sekitar Eropah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram