PERAK FC terus kempunan untuk mencatatkan kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super setakat ini.
Aksi terakhir di hadapan penyokong sendiri pada 27 Ogos lalu menyaksikan skuad Seladang tewas 0-4 di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh, Perak.
Sebelum itu ketika saingan liga, The Bos Gaurus (TBG) turut tewas besar 0-5 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) ketika pasukan berkunjung ke gelanggan lawan di selatan tanah air.
Pada masa sama, meskipun berjaya lolos ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2023 menerusi jaringan agregat menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 4-3, perlawanan kedua di gelanggang lawan dalam pusingan ke-16 itu menyaksikan pasukan tewas 1-2.
Keputusan muram yang direkodkan TBG itu berlaku di sebalik beberapa pencapaian dan perkembangan positif ditunjukkan anak buah Yusri Che Lah terutamanya sejak awal Mei lalu.
Yusri (tiga dari kiri) bersama barisan kejurulatihan pasukan Perak FC ketika perlawanan. — Perak FC
Ini kerana, dalam tempoh tersebut, selain berjaya menyingkirkan KDA FC, iaitu pasukan di tangga ketiga liga dalam saingan Piala Malaysia, skuad TBG turut pernah merekodkan dua kemenangan dan satu satu seri.
Kemenangan dicatatkan itu masing-masing ketika menentang Kuching City FC 2-1 dan Penang FC 3-1 manakala seri 1-1 pula semasa melawan Kelantan United FC.
Dengan beberapa petunjuk positif dipamerkan pasukan TBG sebelum ini, penyokong pastinya mengharapkan agar pasukan mampu menampilkan aksi terbaik dalam lima perlawanan terakhir liga.
Cabaran itu pastinya sesuatu yang agak mencabar buat anak buah Yusri keranan pasukan yang bakal ditentang itu bukanlah calang-calang antaranya Selangor FC, Sabah FC dan Terengganu FC.
Dua lagi pasukan yang akan dihadapi ialah Negeri Sembilan FC dan Kelantan FC.
Sementara itu, lawan Perak FC di suku akhir Piala Malaysia pula menyaksikan Perak FC berhadapan dengan Sabah FC, pasukan yang berada di tangga keempat liga.
Disebabkan itu, Majoriti senaraikan tiga penambahbaikan perlu dilakukan Perak FC sekiranya mahu bersaing dengan lebih baik dalam perlawanan seterusnya:
1. Pastikan kecergasan pemain
Tahap kecergasan pemain Perak FC disifatkan kurang memuaskan sejak beberapa perlawanan akhir-akhir ini. — Perak FC
Isu melibaktan kecergasan pemain Perak FC merupakan antara punca utama dilihat merencatkan momentum positif berjaya diraih pasukan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Perkara ini sememangnya dijangkakan kerana TBG bukanlah sebuah skuad yang mempunyai kedalaman pasukan atau squad depth yang baik berbanding kelab lain di dalam Liga M.
Disebabkan itu, Yusri seharusnya lebih bijak dalam melakukan perancangan khususnya dalam membuat penggiliran pemain.
Ini bagi memastikan supaya kesebelasan utama yang ditampilkan mampu memperagakan aksi terbaik dan bertenaga setiap kali diturunkan.
2. Kelonggaran barisan pertahanan
Ketiadaan Shivan (kiri) dikatakan menjadi antara punca gawang Perak FC mudah dibolosi ketika aksi menentang KL City FC baru-baru ini. — Perak FC
Dalam pada itu, isu prestasi semasa barisan pertahanan Perak FC menjadi perkara utama yang mendapat kritikan dalam penyokong pasukan.
Ketika perlawanan menentang KL City FC, ketiadaan pemain pertahanan tengah Shivan Pillay dikatakan menjadi antara punca gawang pasukan begitu mudah dibolosi oleh skuad Warga Kota.
Pada waktu ini, dua pemain tetap yang dilihat membarisi pertahanan Perak FC ialah Shivan yang juga bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC dan bek tengah import pasukan iaitu Jesper Nyholm.
Untuk posisi bek kiri dan kanan pula, Yusri dilihat agak kerap menukar pemain di kedua-dua posisi berkenaan dengan antara yang menjadi pilihan ialah Raja Imran Shah (bek kiri), Aiman Yusni (kanan) dan Afif Asyraf (kanan).
3. Pemilihan penjaga gol dengan prestasi lebih konsisten
Shaheeswaran ketika sesi latihan bersama pasukan Perak FC. — Perak FC
Dalam pada itu, posisi penjaga gol turut mendapat kritikan dalam kalangan penyokong Perak FC.
Ini kerana selain pertahanan, penjaga gawang yang dipilih juga disifatkan sering membuat kesilapan mudah dan tidak konsisten sehingga membawa kepada jaringan gol oleh pihak lawan.
Pada waktu ini, Yusri dilihat selesa untuk menggunakan T Shaheeswaran sebagai penjaga gol utama pasukan apabila dia diturunkan dalam 10 perlawanan terakhir termasuk dua aksi Liga Malaysia menentang KDA FC.
Selain Shaheswaran, tiga lagi penjaga gol yang dimiliki Perak FC ialah Bryan See, Syazwan Syazany dan Azeem Farhan.
Daripada tiga nama tersebut, hanya Bryan yang pernah diberikan kepercayaan apabila diberikan peluang beraksi dalam sembilan perlawanan pada musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram