Tersungkur di Ipoh, 'silly mistake' pemain buat bos Perak FC hilang semangat


  • Podium
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Skuad Seladang kini menghuni tangga ke-11 Liga Super dengan 16 mata. — Facebook/PerakFC

PERAK FC seperti hilang motivasi untuk meneruskan rentak kemenangan apabila tumpas 0-4 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada Ahad.

The Bos Gaurus (TBG) pada awalnya dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengulang semula kemenangan menentang Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam pusingan 16 aksi Piala Malaysia, namun semuanya serba tak menjadi pada aksi Liga Super ke-21 itu.

Anak-anak buah Yusri Che Lah mula goyah apabila penyerang import skuad Warga Kota, Tchetche Kipre mencetak gol pembukaan pada separuh masa pertama akibat kesilapan dilakukan pertahanan TBG, Sunday Afoelabi.

Bersambung babak kedua, gawang Perak FC yang dijaga oleh Shaheeswaran bolos lagi menerusi jaringan pemain tengah skuad Lembah Klang itu, Sebastian Avanzini sebelum Paolo Josue menjadikan kedudukan 3-0.

Penyerang sayap gantian, Sean Gan Gianelli mengesahkan kemenangan pasukan kendalian Nenad Bacina dengan menjaringkan gol keempat buat Kuala Lumpur pada penghujung babak perlawanan.

WhatsApp Image 2023-08-28 at 10.07.49

Antara aksi pemain Perak menentang skuad Warga Kota pada Ahad. — Facebook/PerakFC

Kekalahan tersebut bukan hanya mengecewakan lebih 6,000 penyokong, malah Ketua Pegawai Eksekutif Interim kelab, Bobie Farid Shamsudin juga meluahkan perasaan sedemikian.

Menerusi satu hantaran di Facebook TBG Super Fan, Bobie mengakui bahawa dia kecewa dengan kesilapan sudah yang dilakukan oleh beberapa pemain sehingga menyebabkan skuad Seladang tewas tanpa jaringan di Ipoh.

‘Hilang semangat terus hari ini (Ahad). Kecewa gila dengan beberapa pemain kita yang tidak habis-habis buat silly mistake.

“Terima kasih gong TBGSF buat clearing sampah. Maaf tak dapat join. Saya gerak dulu, maaf sekali lagi untuk semua penyokong Perak,” katanya.

Kemenangan tersebut memastikan skuad Warga Kota berada di tangga ketujuh Liga Super dengan 31 mata manakala Perak FC menghuni tangga ke-11 dengan 16 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram