TIDAK berada pada tahap keupayaan sebenar menjadi punca kegagalan Perak FC untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri dalam aksi Liga Super 2023 bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC pada Ahad.
Pengendali Perak, Yusri Che Lah berkata, untuk itu skuad terpaksa menyerap tekanan pasukan lawan dan keadaan itu menyaksikan banyak kesilapan dilakukan pemain.
"Pemain tidak beraksi pada tahap sebenar menyebabkan tidak banyak peluang terbaik dapat dicipta. Kita tidak bermain seperti dua perlawanan sebelum ini di Ipoh dan semasa menentang KL City. Saya akui kita tidak bermain dengan baik walaupun ada kesungguhan untuk mendapatkan gol.
"Terutama pada separuh masa kedua, cipta beberapa peluang, tetapi masih belum cukup untuk mendapatkan kemenangan atau sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata," katanya.
Pada perlawanan itu, hasrat skuad The Bos Gaurus (TBG) untuk mengekalkan rentak kemenangan di laman sendiri tidak kesampaian apabila tewas 0-4 kepada skuad The City Boys di Stadium Perak, Ipoh.
Yusri berkata, untuk membolehkan pasukan mengumpul mata dan berada di posisi yang lebih baik dalam kedudukan liga, anak buahnya perlu bangkit dengan persembahan lebih bertenaga pada perlawanan akan datang.
"Selepas ini kita akan berjumpa Sabah FC yang cukup berpengalaman dan saya mengharapkan pemain akan kembali meningkatkan keyakinan diri dan bermain dalam keupayaan sebenar.
"Tidak timbul soal pemain saya simpan tenaga untuk saingan Piala Malaysia (bertemu Sabah) kerana bagi saya di Liga Super kami perlu mengutip mata untuk perbaiki kedudukan," katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City, Nenad Bacina berterima kasih kepada pemainnya yang telah menunjukkan persembahan baik dalam perlawanan menentang Perak FC.
"Ia perlawanan yang sukar, kerana kita tahu Perak bermain dengan baik sebelum ini, dan kami bertahan sebaik mungkin,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram