Ubi muda TRW beri 'hint', episod gelap Kelantan FC sekali lagi berulang


  • Podium
  • Isnin, 04 Sep 2023

Skuad TRW perlu meletakkan harapan terhadap ubi muda akibat pemergian rata-rata pemain senior mereka. — Facebook/TRW Kelantan FC

SEJAK awal musim lagi, peminat bola sepak tanah air sering dikejutkan dengan berita mengenai isu kebajikan yang menimpa pemain serta staf kejurulatihan Kelantan FC.

Di samping menerima layanan yang buruk, terdapat juga laporan mengatakan mereka tidak dibayar gaji untuk beberapa bulan sehingga menjejaskan kehidupan masing-masing di luar padang.

Situasi itu dilihat memberi kesan terhadap pencapaian serta gaya permainan skuad The Red Warriors (TRW) yang hanya mengumpul lapan mata daripada 21 perlawanan.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut mengalami kekalahan cukup memalukan dalam tiga aksi terakhir, iaitu kepada Terengganu FC (0-8), Johor Darul Takzim (0-10) dan Selangor FC (2-11).

Keadaan itu dikatakan berpunca daripada ketiadaan pemain senior dalam pasukan ketika ini sehingga memaksa ketua jurulatih, Alfredo Vera untuk menurunkan ubi-ubi muda yang rata-ratanya dibawa masuk dari pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) Kelantan FC.

2192840

Irfan merupakan antara pemain muda yang dibawa ke dalam skuad senior TRW. Facebook/TRW Kelantan FC

Melihat kepada situasi ketika ini, persoalan pastinya diajukan kepada pemilik kelab, Norizam Tukiman yang dilihat seperti tidak bersungguh-sungguh dalam mengembalikan semula zaman kegemilangan skuad TRW.

Malah, usahawan kelahiran Johor itu turut dipersalahkan atas keengganannya untuk membayar gaji pemain dan pihak kejurulatihan sehingga mereka kini berada di tangga kedua tercorot Liga Super.

Bagaimanapun, berdasarkan perkongsiannya di media sosial beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat kemungkinan besar bahawa kesemua tunggakan bayaran itu sudah diselesaikan.

Hal itu turut dipersetujui beberapa wakil pemain yang mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada Norizam atas kerjasamanya dalam mengelakkan isu tersebut daripada terus memburuk.

Tetapi, episod gelap Kelantan FC seperti akan berulang apabila penjaga gol muda, Irfan Haikal memberi gambaran bahawa masalah gaji sekali lagi melanda pasukan berkenaan.

WhatsApp Image 2023-09-04 at 09.02.06

Tangkap layar daripada dua hantaran di InstaStory Irfan pada Ahad.

Menerusi satu hantaran di InstaStory miliknya pada Ahad, pemain berkenaan seolah-olah sedang membuat satu tuntutan daripada sebuah pihak dalam bentuk mesej tersirat.

"3 September dah ni, habuk pun tarak (tiada). Janji 15 Ogos akan selesaikan tiga bulan. Sekarang dah berapa hari bulan? Cakap tak serupa bikin," katanya.

Irfan sebelum ini dibawa masuk ke dalam skuad senior TRW di samping seorang lagi penjaga gawang muda, Johan Shazidane Tendot selepas beberapa pemain senior meninggalkan pasukan itu ketika jendela perpindahan lalu.

Bagaimanapun, kehadirannya masih belum mengubah nasib benteng pertahanan Kelantan FC apabila dia sudah dibolosi sebanyak 31 kali dalam tujuh penampilan Liga Super.

Tetapi, Irfan masih boleh diberi pujian memandangkan dia pernah mencatatkan satu 'clean sheet' ketika kemenangan bermakna pasukannya ke atas Negeri Sembilan FC pada 9 Ogos lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram