ISU hangat di antara penyokong Kelantan FC dan pihak pengurusan dilihat masih belum menemui jalan penyelesaian apabila laungan 'Zamout' masih berkumandang dalam media sosial.
Sebelum ini, penyokong Kelantan berang dengan prestasi semasa pasukan yang dilihat semakin merudum meskipun sudah menukar tiga ketua jurulatih dalam satu musim sama.
Malahan isu luar padang seperti tunggakan gaji dan kegagalan mendaftar pemain import semasa jendela perpindahan kedua Liga Super tidak dapat diterima oleh penyokong Kelantan.
Tiga perlawanan terakhir Kelantan, skuad kendalian Angel Alfredo Vera telah dibolosi 29 gol dan merupakan antara pasukan yang mencatatkan angka bolos tertinggi dalam Liga Super iaitu 87 gol.
Namun semua kegagalan itu tidak menghalang Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan, Ahmad Muzakkir Hamid untuk menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh seorang individu sepanjang menjaga pasukan itu.
"Dia satu-satunya penyelamat, dia satu-satunya bukan orang Kelatan, dia satu-satunya selesai masalah satu persatu.
"Di mana seni budaya kita sebagai pewaris Cik Siti Wan Kembang yang terkenal kelembutan tutur kata, yang berkawan teguh bersama, yang melayan tetamu bak mutiara," katanya dalam Facebook.
Ahmad Muzakkir Hamid.
Muzakkir merupakan graduan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang mempunyai kemahiran dan pengalaman luas dalam pembangunan sukan khususnya bola sepak.
Selain itu, dia juga antara watak penting penjualan 100 peratus saham Kelantan FC daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kepada Norizam Tukiman pada 3 September 2020.
Walaupun tidak menyatakan nama individu dimaksudkan dalam 'posting' tersebut, rata-rata penyokong beranggapan ia ditujukan buat Norizam atau lebih dikenali Zamsaham.
Tangkap layar posting CEO Kelantan di Facebook.
"Penyokong nak tengok proses CEO, selit sikit-sikit sudahlah memuji orang itu," kata Azim Rosdi.
"Dia itu bukan jenis lembut tutur kata, tak tengok video viral marah pekerja dia hari itu?" soal Muhd Syahmie.
"Kena ikut skrip kalau nak kerja dengan Zamsaham," ujar Muhd Muin Mansor.
"Jangan kuat sangat jilat itu, sikit-sikit sudah," jelas Mayu Saidi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram