DALAM perjalanan karier seorang pemain bola sepak, pastinya akan ada sesebuah pasukan yang akan meninggalkan kesan mendalam dalam hati mereka.
Boleh jadi pasukan itu merupakan tempat yang mana pemain tersebut merakam pelbagai kejuaraan, atau penyokongnya mempunyai hubungan rapat dengan mereka, dan ia pasti memberikan nilai sentimental dalam jiwa terutamanya selepas tidak lagi bermain.
Itulah yang terjadi kepada bekas pemain Kelantan FC, Kervens Belfort yang masih tidak dapat melupakan kelab lamanya itu.
Belfort yang kini bermain untuk Sriwijaya FC di saingan divisyen dua Indonesia, masih lagi tidak dapat melupakan The Red Warriors yang cukup dekat dengan jiwanya itu.
Belfort kini beraksi bersama-sama kelab divisyen dua di Indonesia. — Agensi
Pemain kebangsaan Haiti ini secara terbuka mengatakan yang dia merindukan saat-saat beraksi bersama-sama The Red Warriors dan menjaringkan pelbagai jaringan bersama mereka.
"Saya rindukan Kelantan FC," tulis Belfort secara ringkas.
Komen ringkas yang dilontarkan oleh Belfort itu mendapat perhatian penyokong Kelantan FC turut mengharapkan pemain itu kembali satu hari nanti.
Belfort meluahkan rasa rindunya terhadap Kelantan FC di media sosial. — Facebook/TRW Kelantan FC
"Sila pulang semula ke Kelantan FC selepas diambil alih oleh pengurusan baharu. Sangat rindukan anda," kata penyokong bernama Syazwan Ewan.
"Samalah. Saya pun rindukan kamu juga the Shy Lion," ujar Aqil Hakimie.
Akan tetapi, terdapat satu komen yang menarik perhatian apabila Belfort memberikan bayangan ingin kembali semula ke Kelantan FC seawal tahun 2024.
"(Sila) kembali semula," tulis Bob Azha.
"Jika semuanya berjalan lancar, saya akan kembali pada tahun hadapan," balas Belfort.
Tempoh masa Belfort bersama-sama Kelantan tidaklah begitu lama kerana pemain itu sering dibelenggu kecederaan ketika bersama The Red Warriors.
Malah pemain ini pernah terpalit kontroversi apabila secara tiba-tiba mengucapkan selamat tinggal kepada Kelantan FC hinggakan pemiliknya, Norizam Tukiman perlu masuk campur menerangkan keadaan sebenar.
Ketika itu, Belfort dianggap sudah pun disingkirkan oleh Kelantan FC namun menurut Norizam, penyerang tersebut sekadar direhatkan oleh bekas kelabnya itu.
Belfort yang sudah memiliki 40 penampilan bersama-sama pasukan kebangsaan Haiti, telah menjaringkan 14 gol bersama negaranya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram