Reunion bersama Shahrul Saad, Akram Mahinan, fans Perak harap ada sinar buat Beto atasi prestasi suram di Kelantan


  • Podium
  • Ahad, 03 Sep 2023

Gambar Beto (tengah) mengadakan pertemuan dengan rakan pasukan lamanya Shahrul Saad dan Akram Mahinan, baru-baru ini. — Instagram

NAMA Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri bukanlah nama yang asing buat penyokong bola sepak tanah air.

Anak jati kelahiran Teluk Intan, Perak itu memulakan karier bola sepaknya bersama skuad Piala Belia Perak pada 2012 sebelum sertai skuad Piala Presiden Perak yang mana dia membantu pasukan itu menjadi juara pada 2014.

Dia yang lebih dikenali sebagai Beto juga pernah bermain untuk skuad B-19 negara (Harimau Muda) di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee pada tahun 2013.

Untuk rekod, pemain itu juga pernah menyertai beberapa kelab seperti Perak FC, Petaling Jaya City FC dan Sarawak United FC sebelum menyertai Kelantan FC pada musim ini.

Malah, ada segelintir penyokong yang berasakan pemain berusia 28 tahun itu mempamerkan aksi yang cemerlang ketika bersama skuad Seladang dari tahun 2015 hingga ke 2020.

Beto Kelantan

Nama Beto semakin tenggelam dalam arena bola sepak tanah air. — Instagram/Beto

Namun nama pemain itu tenggelam selepas dia terpalit kontroversi dan digantung dua perlawanan ekoran tindakannya melakukan simulasi hingga mempengaruhi keputusan pengadil pada aksi Liga Super menentang Melaka United pada 2021.

Dia yang bermain bersama PJ City FC pada ketika itu digantung dua perlawanan kerana tindakannya yang berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila terjatuh di dalam kotak penalti dan memegang kaki seolah-olah telah dikasari oleh pemain lawan walaupun tiada pemain pihak lawan yang menyentuhnya dan ini telah mewujudkan situasi 'simulation'.

Sejak daripada itu, dia dilihat sukar mencari rentak dan pada ketika ini, Beto yang bermain bersama skuad The Red Warrior (TRW) tidak menonjol dipercayai kerana masalah kecederaan dan kecergasan yang dialami.

Sepanjang 21 perlawanan musim ini, pemain itu hanya diturunkan sebanyak dua kali sahaja setakat ini.

Dalam perkembangan terbaru, seorang penyokong, Amy AmyGoodyear memuat naik satu gambar Beto mengadakan pertemuan dengan bekas rakan pasukan, Shahrul Saad dan Akram Mahinan yang pernah berjuang bersama-sama suatu ketika dahulu.

2176310

Shahrul Saad cemerlang bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JohorSouthernTigers

Gambar yang dimuat naik di laman Facebook Perak All Legend pada Sabtu itu mengundang pelbagai reaksi penyokong kelab Perak FC.

Malah ada yang membandingkan prestasi ketiga-tiga pemain berkenaan yang dilihat kini berada di 'liga' mereka yang tersendiri.

Contohnya seperti Shahrul Saad yang dilihat cemerlang bersama skuad gergasi, Johor Darul Takzim (JDT) pada ketika ini.

Malah, Sharul yang pernah diberi gelaran 'Badak' pernah dilabel sebagai bek tengah terbaik negara ketika permulaan kariernya bersama JDT.

AKRAM

Akram Mahinan pula menggalas tugas sebagai pemain tengah skuad Warga Kota sejak dari 2019 sehingga sekarang. — Instagram/KLCityFC

Sementara itu, Akram Mahinan pula menggalas tugas sebagai pemain tengah skuad Warga Kota sejak dari 2019 sehingga sekarang dan kerap diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama.

Sehubungan itu seorang penyokong, Shahrol Osman mengharapkan Beto dapat mengembalikan zaman kegemilangan yang pernah dikecapinya pada satu ketika dahulu.

"Beto kena cari jalan dan bekerja keras untuk terus maju dalam kariernya atau memadai dengan prestasi sekarang dan terus merudum. Harap ada sinar untuk Beto," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram