Kpah Sherman dalam senarai akhir skuad Liberia berdepan semi finalis Piala Dunia 2022


  • Podium
  • Isnin, 04 Sep 2023

Kpah sudah beraksi sebanyak 19 kali bersama skuad kebangsaan Liberia sejak debutnya pada 2014. — Agensi

SELEPAS bertahun-tahun diberikan kritikan berikutan pulangan gol yang kurang prolifik, Kpah Sherman kini mula dijulang penyokong Sri Pahang FC.

Dia yang tiba di kelab Pantai Timur itu ketika jendela perpindahan awal musim lalu dilihat tidak berdepan sebarang cabaran untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan dan pengendali pasukan, Fandi Ahmad.

Ia dapat dibuktikan apabila penyerang berusia 31 tahun tersebut berjaya menjaringkan 11 gol serta mencipta enam bantuan jaringan dalam 20 penampilan Liga Super.

Sumbangan itu sedikit sebanyak membolehkan skuad Tok Gajah menduduki tangga kelima liga dengan hanya dua mata membezakan mereka dengan Sabah FC di kedudukan keempat.

Malah, sentuhan berbisa Kpah turut dapat disaksikan ketika aksi Piala Malaysia baru-baru ini apabila dia meledak dua gol untuk membantu pasukannya mara ke peringkat suku akhir selepas menyingkirkan Harini FT.

WhatsApp Image 2023-09-04 at 11.17.55

Kpah Sherman merupakan salah seorang daripada tiga penyerang yang dipanggil skuad kebangsaan Liberia. Twitter/FA Liberia

Statistik membanggakan itu bukan sahaja disedari penyokong serta pemerhati bola sepak tanah air apabila baru-baru ini, bekas pemain Terengganu FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC itu dipanggil untuk mewakili negaranya.

Berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Liberia, Kpah diberikan peluang di samping dua lagi penyerang lain, William Jebor dan Mohammed Kamara.

Panggilan itu dibuat menjelang aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika 2023 dengan pasukan tersebut bakal berdepan Maghribi di tempat lawan pada 10 September.

Aksi Kumpulan K tersebut semestinya satu cabaran besar buat Liberia memandangkan lawan mereka itu tampil dengan reputasi hebat selepas layak ke peringkat separuh akhir Piala Dunia yang lalu.

Jadi, ia pastinya akan menjadi satu peluang hebat buat Kpah bersama-sama rakan sepasukannya untuk menyarung jersi kebangsaan meskipun harapan mereka untuk mara lebih jauh dalam kejohanan itu dilihat sukar kerana lambakan pasukan yang berprestasi tinggi.

Untuk rekod, penyerang skuad Tok Gajah itu sudah mengumpul sebanyak 19 kaps bersama Liberia dengan hanya tiga gol berjaya dijaringkannya setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram