KEMARAAN Sri Pahang FC dalam saingan Piala Malaysia menjadi satu suntikan semangat buat penyokong yang terus mengharapkan agar pasukan itu dapat menamatkan musim 2023 dengan lebih baik.
Mereka yang menempah tiket suku akhir dengan agregat 5-2 ke atas Harini FT berdepan cabaran tersendiri dalam pertandingan itu, lebih-lebih lagi dari segi pertahanan.
Namun, kehadiran penyerang berbisa, Kpah Sherman dalam kedua-dua aksi dalam peringkat pembukaan boleh dianggap sebagai satu titik perubahan buat skuad Tok Gajah.
Dua gol yang dijaringkannya dalam perlawanan kedua di Stadium Darul Makmur, Pahang memudahkan tugas buat Sri Pahang FC untuk menyingkirkan kelab Liga M3 itu.
Ia bukanlah sesuatu yang baharu buat pemain kelahiran Liberia tersebut memandangkan dia merupakan sandaran utama buat pasukan Pantai Timur berkenaan untuk menggegarkan gawang gol lawan.
Kpah dilihat sedang menerima rawatan ketika sesi latihan skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Sebanyak 12 gol yang dijaringkannya dalam semua kejohanan meletakkan Kpah sebagai penjaring terbanyak pasukan meskipun dia sebelum hadir dengan reputasi kurang meyakinkan.
Jadi, khidmatnya pasti akan ditagih memasuki penghujung musim dengan penyokong pastinya berharap agar pemain berusia 31 tahun itu tidak mengalami sebarang isu kecergasan.
Tetapi, harapan itu seperti tidak kesampaian apabila baru-baru ini, Kpah seperti mengalami kecederaan menerusi satu foto yang dikongsi di laman media sosial kelab.
Pemain tinggi lampai itu dilihat sedang menerima rawatan di tepi padang latihan sambil kakitangan Sri Pahang FC membalut kaki kanannya.
Situasi berkenaan sudah tentu akan memberi satu detik menggusarkan buat skuad Tok Gajah, lebih-lebih lagi memandangkan dua lagi penyerang kelab, Lucas Silva dan Rafael Silva masih belum berada dalam tahap terbaik.
Kpah Sherman merupakan bintang buat kelab Pantai Timur itu musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Oleh itu, tidak hairanlah apabila penyokong itu mula bertanya-tanya mengenai tahap kesihatan Kpah memasuki perlawanan Liga Super selepas ini berdepan Kelantan United FC.
"Alamak, cedera pula ke Kpah ni? Harapnya tak teruklah, dah lah perlawanan mudah selepas ni. Bolehlah dia dapatkan lebih banyak gol," kata Zam Haris.
"Kalau nak harapkan Lucas dengan Rafael, susahlah. Dahlah dua-dua tu belum berada dalam tahap kecergasan terbaik. Harapnya dia tak lama cedera," kata Mohd Karim.
"Kpah je harapan kita untuk akhir musim ni, harapnya kecederaan yang dia alami tidak begitu serius seperti dua penyerang lain Sri Pahang," kata Norli Alya.
Sehingga kini, tiada perkembangan dikongsikan mana-mana pihak kejurulatihan kelab dengan perkara itu pastinya terus dinanti-nantikan penyokong.
Skuad Tok Gajah mempunyai peluang cerah untuk terus menambah baik kedudukan dalam carta Liga Super sekiranya mereka mampu mengumpul tiga mata dalam perlawanan ke-20 liga pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram