Lepas kena bahan awal musim, Tomi terima sambutan baik atas usaha jangka masa panjang


  • Podium
  • Rabu, 30 Ogos 2023

Kehadiran Tomislav sebelum ini kerap dipertikaikan penyokong Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

SEJAK disingkirkan daripada separuh akhir Piala FA di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC Jun lalu, Terengganu FC sudah berjaya menemui rentak konsisten dalam kesemua pertandingan.

Dalam tujuh perlawanan Liga Super, pasukan Pantai Timur berkenaan tidak mengalami sebarang kekalahan dengan empat daripadanya berakhir dengan kemenangan buat mereka.

Prestasi memberangsangkan berkenaan meletakkan kelab tersebut selesa di tangga keenam dengan hanya lima mata membezakan kelab itu dengan Sri Pahang FC di kedudukan kelima.

Selain itu, skuad Sang Penyu berjaya meneruskan rentak cemerlang di Piala Malaysia apabila mereka mudah menyingkirkan pasukan Liga M3, KL Rovers dengan agregat 7-0.

Keputusan positif tersebut seperti mengubah suasana antara penyokong dengan pihak pengurusan memandangkan mereka sebelum ini sering mempertikaikan keputusan dibuat.

371349035_283751984366243_2482964312628392980_n

Engku Shakir mula mendapatkan tempatnya dalam skuad Sang Penyu musim ini. Facebook/Terengganu FC

Tidak cukup dengan itu, segelintir peminat setia Terengganu FC juga seperti sudah secara terbuka menerima kehadiran ketua jurulatih pasukan, Tomislav Steinbruckner.

Pengendali kelahiran Croatia itu pernah dikritik dengan teruk di media sosial berikutan prestasi mengecewakan skuad Sang Penyu sejak awal musim lalu.

Selain itu, pemilihan pemain yang dibuat juga sering dipertikaikan memandangkan Tomislav terlalu cenderung untuk mendapatkan khidmat dua import dari negara kelahirannya, iaitu Ivan Mamut dan Domagoj Pusic.

Jadi, perubahan yang dapat disaksikan menerusi keputusan-keputusan dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini menimbulkan rasa penerimaan antara penyokong Terengganu FC dengan jurulatih pasukan itu.

Tetapi, bagi seorang peminat setia pasukan, Ali Hassan, terdapat pendekatan lain dibuat Tomislav yang membolehkannya menerima pujian menggunung daripada orang ramai.

"Engku Nur Shakir banyak meningkat di bawah Tomi. Syafik Ismail juga kerap berada dalam kesebelasan utama di bawahnya sebelum mengalami kecederaan.

"Tomi ni yang paling bagus sebenarnya adalah apabila dia kerap memberi peluang kepada ramai pemain muda dan dia juga melakukan penggiliran pemain," tulisnya di Facebook.

370566425_283828224358619_6629280082369527903_n

Pemain muda sering diberikan kepercayaan di bawah kendalian Tomislav. Facebook/Terengganu FC

Berdasarkan skuad Sang Penyu musim ini, beberapa ubi muda sering diberikan minit permainan dalam Liga Super bagi digandingkan dengan pemain lebih senior, seperti Sony Norde dan Suhaimi Husin.

Antara yang kerap diberikan kepercayaan ialah Safwan Mazlan dan Azam Azmi Murad yang masing-masing masih berusia di bawah 23 tahun.

Pendekatan itu membuka ruang untuk mereka menimba pengalaman dengan lebih kerap, sekali gus membawa nafas baharu buat skuad Sang Penyu bagi tahun-tahun akan datang.

"Ketika berada di bawah kendalian Nafuzi (Zain), boleh dikatakan terdapat ramainya bintang seperti Faisal Halim, Manuel Ott, Kpah (Sherman) dan (Tchetche) Kipre.

"Jadi, berilah masa dan ruang untuk Tomi bina pasukan. Kita cuma perlu mendapatkan import yang lebih baik selepas ini," tulis penyokong itu lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram