KETUA pasukan Sri Pahang FC, Sergio Aguero mendapat mendapat tonik tambahan sebelum memikul tugas negara menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang China dan Syria bulan depan.
Pemain tengah Malaysia kelahiran Argentina itu menjaringkan dua gol untuk membantu Tok Gajah membelasah Kelantan United 5-1 dalam pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Mohd IV di Kota Baru, Kelantan pada Ahad.
Tonggak berusia 29 tahun itu menjaringkan gol pada minit ke-23 dan ke-27 untuk membantu Sri Pahang meraih kemenangan ke-12 musim ini.
Gol-gol lain dijaringkan oleh pertahanan kanan Azrif Nasrulhaq (ke-10), penyerang Liberia, Kpah Sherman (ke-66) dan pemain tengah, David Rowley pada penghujung babak permainan.
Manakala, gol sagu hati untuk Kelantan United pula hadir menerusi Royizzat Daud pada minit ke-77.
Dengan kemenangan itu, Pahang kini kekal di tangga kelima dengan 40 mata daripada 20 perlawanan, hanya dua mata di belakang pasukan tangga keempat, Sabah yang telah bermain 22 perlawanan.
“Ia sentiasa bagus untuk memberi persembahan terbaik dan menjaringkan dua gol adalah bonus. Beberapa perlawanan baru-baru ini telah meningkatkan keyakinan saya. Saya gembira dengan sumbangan saya kepada permainan ini.
“Kami mempunyai kombinasi serangan yang baik daripada Kpah, Lucas (Espindola), Rafael (Silva) dan David. Mereka melakukan kerja yang baik,” katanya.
Tangkap layar hantaran daripada Sergio Aguero.
Dalam pada itu, kegembiraan Aguero selepas meledak dua jaringan gol juga dizahirkan di laman Instagram peribadinya yang mana dia menggunakan bahasa Melayu di kapsyen hantarannya.
Kapsyen berbahasa Melayu itu mendapat pujian daripada penyokong bola sepak tanah air kerana ia menggambarkan bahawa dia menghormati kerakyatan yang diberikan dan mahu belajar memahami bahasa kebangsaan.
“Saya gembira untuk tiga mata dan dua gol hasil jaringan dari saya. Permainan yang baik dan mantap dari seluruh pasukan. Hogoh Pahang Hogoh,” tulisnya.
Pemain berusia 29 tahun itu sebelum ini berkongsi menerusi laman media sosial Instagram miliknya yang menunjukkan pemain kelahiran Argentina itu mengambil kelas persendirian untuk belajar bahasa Melayu.
Aguero adalah salah seorang daripada tiga pemain Pahang yang dipilih jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon untuk aksi persahabatan menentang Syria (6 September) dan China (9 September) di Chengdu, China.
Aguero antara 26 pemain yang dipanggil Pan-gon ke China. — Instagram/Aguero
Dua lagi pemain skuad Tok Gajah yang terpilih ialah tonggak tengah, Nor Azam Azih dan pemain sayap, Nur Shamie Iszuan Amin.
Pemain naturalisasi itu juga berharap dapat menjaringkan gol untuk Harimau Malaya dalam dua aksi persahabatan September ini.
“Saya gembira dapat mewakili Malaysia sekali lagi dan menyarung jersi kebangsaan.
“Perlawanan persahabatan akan memberi kita gambaran tentang sejauh mana kami bersedia untuk menghadapi senjata besar dalam Piala Asia," jelasnya.
Kejohanan itu bermula 12 Januari hingga 24 Februari tahun depan di Qatar dan Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama pemenang dua kali Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.
Pemenang dan naib juara kumpulan, serta empat pasukan terbaik tempat ketiga akan layak ke peringkat kalah mati. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram