Duo Sang Kenari jadi 'mangsa' peraturan, kempunan ke kelayakan Piala Asia B-23


  • Podium
  • Isnin, 04 Sep 2023

Duo pemain KDA FC terpaksa disisihkan E. Elavarasan untuk pusingan kelayakan Piala AFC B-23. — Majoriti

BERITA duka buat dua pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila mereka menjadi 'mangsa' kepada peraturan untuk kelayakan Piala Asia B-23 yang akan diadakan di Thailand.

Kedua-dua pemain itu ialah Azrin Afiq dan Hariz Mansor yang terpaksa disisihkan oleh E. Elavarasan selepas pengendali itu hanya boleh membawa 23 pemain sahaja ke Thailand.

Dengan dua nama ini tidak dibawa ke Thailand, maka tinggal Aiman Afif Afizul sahaja wakil dari KDA FC yang berjaya kekal hingga ke dalam skuad akhir.

Aiman menyertai nama-nama seperti M. Rakesh (Kelantan FC), Saiful Jamaluddin (Sri Pahang FC), Alif Ikmalrizal (Penang FC), Sikh Izhan (Negeri Sembilan FC), Luqman Hakim (Njardvik) dan Nooa Laine (SJK Seinajoki) yang menjadi wakil tunggal kelab masing-masing.

337672356_180297468122395_3508398820828750377_n

Azrin (tiga dari kanan) terpaksa melupakan hasrat beraksi untuk Malaysia di kelayakan Piala Asia B-23. — Facebook/FAM

Walaupun tidak berhasil untuk menjadi sebahagian daripada skuad akhir ke Thailand, Azrin tetapi menunjukkan sokongan padu kepada rakan-rakan yang bakal memburu tempat ke pusingan akhir di Qatar pada 2024.

"Semoga berjaya geng!!," tulis Azrin secara ringkas dalam Instagram Story.

WhatsApp Image 2023-09-04 at 13.24.38

Tangkap layar Instagram Story Azrin yang mengucapkan selamat maju jaya kepada 23 pemain Harimau Muda. — Instagram/@azrinrsmni

Azrin yang merupakan pemain pinjaman daripada Selangor FC, berkemungkinan mungkin kecewa dengan situasi ini kerana pemain itu semakin hampir untuk dapat mewakili negara, namun semangat kekitaan yang tinggi pastinya akan mengubati hatinya demi melihat rakan-rakan berjaya.

Skuad muda negara akan memburu tempat ke Qatar tetapi perlu menjuarai kumpulan H yang dihuni oleh Thailand, Bangladesh dan Filipina.

Jika Harimau Muda berjaya menjuarai kumpulan, mereka akan layak secara automatik ke pusingan akhir di Qatar. Jika tidak, Elavarasan perlu memastikan pasukan menamatkan saingan kumpulan dikedudukan kedua.

Empat pasukan tempat kedua terbaik akan mengiringi 11 juara kumpulan untuk ke pusingan akhir kejohanan yang akan diadakan pada April hingga Mei 2024. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram