SAMBIL menghitung hari untuk menanti penyerang muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin kembali ke tanah air bagi sesi latihan skuad Bawah 23 tahun (B-23) sebelum mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia 2024 di Chonburi, Thailand, timbul khabar angin melibatkan masa depannya.
Difahamkan selepas enam bulan bersama kelab Liga Iceland, Njardvik FC, tempoh pinjaman pemain berusia 21 tahun itu dengan pasukan berkenaan sudah tamat dan Luqman Hakim bakal kembali ke pangkuan majikan lamanya iaitu KV Kortrijk.
Sepanjang menyarung jersi Njardvík, Luqman Hakim sedikit sebanyak berhasil memberi impak di bahagian serangan dengan menyumbang beberapa jaringan gol buat kelab Divisyen 2 itu walaupun kebanyakan hanya beraksi sebagai pemain gantian.
Dengan impak berkenaan, Luqman Hakim nampaknya berhasil menarik minat beberapa pasukan lain selepas dilaporkan pemain kelahiran Kelantan itu mendapat tawaran daripada tiga liga iaitu Liga Poland, Indonesia dan juga Liga Malaysia (Liga M).
Walaupun Luqman Hakim difahamkan masih ingin merebut tempat dalam kesebelasan utama KV Kortrijk, namun pemain muda itu masih tidak menolak untuk menerima tawaran daripada mana-mana kelab dari tiga liga yang dikaitkan dengannya.
Namun, pemain itu sebelum ini terpalit sedikit masalah mengenai minit permainan apabila difahamkan Luqman Hakim hanya beraksi selama satu minit daripada tiga perlawanan sepanjang bulan Ogos untuk pasukan divisyen dua Iceland itu.
Perlawanan tersebut diperoleh ketika aksi pasukannya menentang UMD Selfoss yang mana menyaksikan Njardvík menang 3-2 ke atas kelabnya tuan rumah pada 17 Ogos 2023.
Lupakan mengenai seminit sepanjang Ogos itu, Majoriti cuba menyenaraikan tiga kelab yang sesuai menjadi destinasi seterusnya buat Luqman Hakim meskipun belum ada sebarang info tambahan mengenai kelab dari Poland, Indonesia dan Liga M itu;
1) Poland (Lechia Gdansk)
Egy salah satu pemain muda Lechia yang menerima anugerah Hopes of the Year pada 2019. — Agensi
Nama kelab Lechia Gdansk mungkin kurang dikenali dalam kalangan penyokong tanah air kerana Liga Poland tidak sepopular liga lain di Eropah seperti La Liga atau Liga Perdana Inggeris (EPL).
Namun hakikatnya, kelab yang kini berada pada divisyen kedua Poland itu pernah mencuri tumpuan penyokong negeri jiran, Indonesia apabila mengambil khidmat pemain muda Indonesia, Egy Maulana untuk beraksi bersama kelab berkenaan pada musim 2018 hingga 2021.
Jika dalam sejarah Lechia Gdansk pernah mengambil pemain dari Asia Tenggara seperti penyerang Indonesia itu, adalah tidak mustahil jika kelab berkenaan ingin mencuba lagi seorang pemain dari rantau sama seperti Luqman Hakim.
Dengan rekod Luqman Hakim yang pernah beraksi untuk dua liga di Eropah iaitu Belgium dan Iceland, kebarangkalian untuk kelab di Poland mengenali bakat penyerang B-23 itu adalah tinggi.
Malah, Lechia Gdansk juga boleh memberi minit permainan kepada Luqman Hakim seperti peluang yang mereka berikan kepada Egy iaitu menurunkan pemain Indonesia itu sebanyak 11 kali perlawanan.
2) Indonesia (Persib Bandung)
Luqman Hakim ketika latihan di bawah kendalian Bojan. — Facebook/FAM
Selain Liga Poland, Liga Indonesia juga tidak ingin melepaskan peluang untuk berebut mendapatkan kepakaran Luqman Hakim yang mana pemain itu boleh berdaftar untuk kuota pemain Asean.
Persib Bandung menjadi antara kelab sesuai untuk Luqman Hakim dan antara faktornya ialah kehadiran Bojan Hodak sebagai pengendali pasukan berkenaan, yang juga pernah membimbing bekas pemain Selangor FC itu.
Bojan yang pernah membimbing skuad bola sepak negara Bawah-19 tahun (B-19) dari 2017 hingga 2019 pernah memanggil Luqman Hakim menyertai pasukannya ketika pemain itu berusia 17 tahun.
Meskipun tidak selalu melatih Luqman Hakim namun Bojan setidaknya tahu sedikit sebanyak skil dan kebolehan yang ada pada bekas penuntut Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu.
3) Liga Malaysia (Selangor FC)
Luqman Hakim hanya beraksi selama lima bulan bersama Selangor FC II. — Facebook/SelangorFC
Bagai sirih pulang ke gagang, demikian peribahasa sesuai menggambar situasi Luqman Hakim sekiranya dia menerima tawaran daripada kelab Liga M selepas hampir tiga tahun berkelana di bumi Eropah.
Selangor FC menjadi kelab dikhabarkan akan mengambil semula khidmat Luqman Hakim selepas laporan dari Vocket FC yang mengatakan salah satu kelab di Lembah Klang menunjukkan minat untuk mendapatkan pemain muda itu.
Luqman Hakim pernah menyertai Selangor FC II pada musim 2020 sebagai tempat persinggahan kerana perlu menunggu lama ke Belgium ekoran penularan wabak Covid-19.
Dengan sentuhan Tan Cheng Hoe, Luqman Hakim berpotensi untuk kembali pada tahap cemerlangnya kerana banyak pemain muda seperti Mukhairi Ajmal dan Harith Haiqal semakin menyinar di bawah pengendali Selangor itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram