Fans Kelantan akui Zamsaham pernah selamatkan kelab, tapi tetap tak 'maksum' dari kena kritik


  • Podium
  • Isnin, 04 Sep 2023

Nama Zamsaham kini sudah lagi tidak popular dalam kalangan penyokong Kelantan FC.

SATU masa dahulu, nama Norizam Tukiman atau Zamsaham meniti di bibir para penyokong Kelantan FC dengan penuh kelegaan dan kegembiraan.

Pada waktu itu, Zamsaham dianggap sebagai wira kerana telah berjaya menyelamatkan kelab dari zaman gelap dan membawa The Red Warriors menuju era yang lebih baik.

Namun begitu, semua itu sudah menjadi kenangan lalu. Masa kini, namanya semakin tidak disenangi oleh para penyokong Kelantan FC, apa saja yang keluar dari mulutnya pasti akan menyakitkan hati mereka.

Walaupun ada pihak masih menyatakan Zamsaham sebagai wira yang menyelamatkan kelab, tetapi bagi penyokong bernama Md Zuki, semua itu adalah perkara lama.

Dengan pelbagai masalah di luar padang ditambah pula prestasi pasukan merudum, terlalu banyak masalah perlu diselesaikan Zamsaham dengan segera.

"Saya amat bersetuju jika dia (Zamsaham) dianggap penyelamat. Tapi saya sudah move on daripada cerita itu, itu fakta yang tak boleh diubah. Namun, tidak perlulah diulang cerita pasal penyelamatan ini.

"Kini selepas beberapa musim prestasi di luar padang 'lebih memberangsangkan' berbanding dalam padang, jangan salahkan penyokong kerap mengulangi kritikan, hashtag-hashtag yang sama," kata Zuki.

Bagi Zuki, apa yang dilalu oleh Zamsaham ini adalah perkara yang boleh dijangka jika melakukan kesalahan. Penyokong tidak akan sentiasa tunduk dengan cakap pemilik kelab setiap masa. Bila ada salah, pastinya akan dikritik.

Dia juga mengambil contoh bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang turut tidak lari daripada kritikan pedas penyokong walaupun telah menghadirkan zaman emas kepada pasukan itu.

2107888

Tan Sri Annuar Musa membawa era gemilang kepada bola sepak Kelantan satu masa dulu.

"Pemilik atau CEO kena ambil pendekatan damage control dan rancang serta buat penyelesaian. Kena cara, insya-ALLAH kerosakan bola dikawal, tak kena cara makin rosak dibuatnya.

"Percayalah penyokong tidak selama-lamanya mengkritik begitu juga sebaliknya. Seingat saya, presiden yang begitu cemerlang sehingga semua piala dibawa balik ke bumi Kelantan tetap kena kecam sehingga mukanya kena edit macam-macam," tambah Zuki.

Apa yang dikatakan Zuki itu turut disetujui oleh penyokong Kelantan FC lain yang sudah muak dengan apa yang Zamsaham lakukan.

"Kalau hati tisu manja, tak payah nak pegang jawatan dalam bola sepak ikhlas cakap. Komen puji jilat (dia) suka tapi bila kena kritik tahu dia nak marah," kata penyokong bernama Zzainy Abe'z.

"Ada dua kemungkinan, (sama ada) penyelamat atau pembunuh. Cuma awal mula semua buat baik, lama-lama bunuh dalam senyap," komen Sazrin pula.

Kelantan kini menduduki tangga kedua terakhir Liga Super dengan hanya mengutip lapan mata selepas 21 perlawanan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram