'Pasukan ini ada aura 70-an, 80-an', Dollah percaya Harimau Malaya mampu kembalikan zaman kegemilangan


  • Podium
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Dollah ketika beraksi bersama Harimau Malaya.

PENANTIAN selama 10 tahun penyokong bola sepak untuk melihat pasukan kebangsaan beraksi dalam Piala Pestabola Merdeka bakal berakhir selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merasmikan kejohanan itu di AEON Big, cawangan Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Khamis.

Kali terakhir kejohanan itu diadakan pada 2013 yang mana ketika itu skuad bawah 23 (B-23) negara merangkul Piala Pestabola Merdeka selepas menewaskan Myanmar B-23 dengan keputusan 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh beranggapan skuad Kim Pan-gon dilihat mempunyai aura seperti pasukan era 70-an, 80-an yang bakal mengembalikan zaman kegemilangan Harimau Malaya.

"Dengan adanya pemain-pemain sekarang, saya nampak ini akan mengembalikan zaman kegemilangan era 70-an, 80-an untuk pasukan negara.

"Saya percaya pemain sekarang ini nampak memang agak berbeza dengan sebelum-sebelum ini, saya juga percaya skuad kebangsaan mampu membawa pulang Piala Pestabola Merdeka selepas sekian lama tidak diadakan.

"Dengan prestasi semasa pasukan, saya harap banyak lagi negara-negara mahu sertai Pestabola Merdeka di masa akan datang," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Pesta Bola Merdeka 2023.

Skuad 1986

Skuad Harimau Malaya dalam Pestabola Merdeka pada 1986.

Bercakap mengenai pengalamannya dalam kejohanan itu, Dollah merasakan Pestabola Merdeka 1986 adalah momen terbaik yang berlaku sepanjang kariernya beraksi bersama Harimau Malaya.

"Perlawanan separuh akhir menentang Jepun pada 1986 adalah masa terbaik meskipun kita menang kali kedua pada 1992.

"Bahagian paling seronok masa lawan Jepun, Jepun letak seorang pemain untuk kawal Zainal Abidin, dalam perlawanan itu kita ketinggalan 1-0 di separuh masa, saya bincang dengan Zainal untuk buat sesuatu kerana kami ada pasukan terbaik dan itu peluang untuk kami menang.

"Pada separuh masa kedua, Zainal jaringkan gol penyamaan dan saya jaringkan gol kemenangan, 'the beauty of' pasukan 1986 di situ dan final saya tak sangka kami boleh menang sampai 3-0.

Ketika itu sambutan kejuaraan sangat berbeza jika nak dibandingkan pada 1992,"ujarnya.

WhatsApp Image 2023-09-01 at 10.59.19 AM

Dollah ketika ditemui oleh media selepas majlis pelancaran Pesta Bola Merdeka 2023.

Beliau turut mengharapkan kemeriahan Pestabola Merdeka akan kembali seperti dahulu yang mana banyak negara menantikan kejohanan itu berlangsung untuk disertai.

"Sebenarnya dulu Pestabola Merdeka ini satu kejohanan yang dinantikan oleh banyak negara untuk datang.

"Tak silap saya, lebih daripada lapan pasukan masuk bertanding kita itu, namun sekarang saya rasa Pestabola Merdeka mula hilang serinya.

"Saya harap benda ini akan datang semula, cuma saya lihat ada empat pasukan sahaja, kalau boleh kita nak bawa balik Pestabola Merdeka jadi satu kejohanan yang dinantikan oleh banyak negara," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram