[VIDEO] Nahas dirempuh lori pasir, polis kenal pasti identiti 6 sekeluarga maut di Segamat


  • 112
  • Sabtu, 02 Sep 2023

Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dan treler pasir di Jalan Segamat-Kuantan, dekat Taman Yayasan, Segamat. — Ihsan Bomba

LIMA dipercayai sekeluarga maut, termasuk dua kanak-kanak terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori pasir dan dua kereta di Jalan Segamat-Kuantan, dekat Taman Yayasan, Segamat, Johor pada Jumaat.

Kemalangan dilaporkan melibatkan sebuah lori treler jenis Scania, sebuah kereta Perodua Alza dan sebuah kereta Perodua Bezza.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, nahas berlaku pada pukul 6.37 petang itu meragut nyawa pemandu Perodua Alza, Amir Ruddin Ismail, 46 serta lima lagi ahli keluarganya.

Katanya, identiti lima mangsa yang lain ialah isteri Amir Ruddin, Norahimah Noor Muhamad, 43, dan anak mereka, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

"Siasatan awal dipercayai berlaku apabila sebuah Honda HR-V sedang bergerak dari arah Kuantan menghala ke arah Segamat telah memperlahankan kenderaan kerana di hadapannya terdapat kerja-kerja pembaikan jalan raya.

"Tiba-tiba sebuah treler yang membawa muatan pasir yang sedang bergerak dari arah yang sama gagal menekan brek dan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang Honda HR-V terbabit dan sebuah Proton Wira yang sedang berhenti.

"Honda HR-V terbabit yang dilanggar lori pasir berkenaan dan ia turut melanggar sebuah kereta Proton Wira sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh Perodua Alza yang dinaiki enam mangsa maut itu," katanya memetik laporan media.

Katanya, seorang lagi mangsa yang juga penumpang kereta Perodua Alza, Abdullah Amir Ruddin, 15, dan pemandu lori sedang dirawat di Hospital Segamat akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan badan.

gdta

Enam sekeluarga disahkan meninggal dalam kemalangan berlaku di Segamat, Johor. — Facebook

Tambahnya, pemandu serta penumpang Honda HR-V, Proton Wira dan Perodua Bezza bagaimanapun terselamat.

"Polis memohon saksi yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Segamat (BSPTD) ditalian 079325811 atau balai polis berhampiran," katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram