Pernah tidur di TBS gara-gara sibuk ikut game takraw, Faisal pasang impian besar


  • Podium
  • Sabtu, 02 Sep 2023

Pasukan Malaysia memenangi pingat perak dalam Temasya Sukan SEA 2021.

SEPAK takraw merupakan salah satu sukan yang cukup terkenal di negara-negara Asia. Sukan sepak takraw ini lebih dikenali sebagai sukan tradisi namun sejak kebelakangan ini semakin mendapat tempat dalam kalangan anak-anak muda.

Bagi peminat sukan takraw, siapa tidak kenal dengan Muhammad Faisal Mohd Fuad yang semakin menempa nama sejak menjadi permata baharu pasukan Penang Black Panther dengan beraksi di posisi tekong.

Muhammad Faisal yang mesra disapa Faisal merupakan pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dan mula berkecimpung dalam sukan sepak takraw seawal umur 12 tahun.

photo_6260322439657535347_x

Sebahagian aksi menarik yang ditampilkan oleh Faisal ketika berlawan dengan Perak Bison.

Menurutnya, selepas menamatkan zaman persekolahan peringkat rendah, dia mendapat tawaran Sekolah Sukan Negeri Pulau Pinang dan bertitik tolak dari situ bermulalah episod baru buat Faisal untuk berkecimpung secara serius dalam sukan sepak takraw.

Sejak itu, Faisal terus fokus dalam sukan tersebut hingga pernah mewakili Malaysia ke Sukan SEA Vietnam 2021 yang merupakan antara pencapaian tertinggi pernah dicapai olehnya setakat ini.

Skuad sepak takraw lelaki negara ketika itu berjaya mengesahkan pingat perak selepas menumpaskan Vietnam untuk muncul naib juara di belakang Thailand pada Sukan SEA 2021.

Berkongsi mengenai minat terhadap sukan itu, Faisal mengakui sebelum benar-benar fokus terhadap sepak takraw, dia pernah juga bermain sukan lain seperti bola sepak dan badminton.

Namun, atas dorongan dan saranan daripada gurunya, dia mengambil keputusan untuk fokus terhadap satu sukan sahaja dan memilih takraw kerana menyifatkannya sebagai sukan yang klasik.

Selain itu, ibu dan bapanya juga menyokong penuh minatnya itu yang disertakan dengan nasihat supaya sentiasa bermain bersungguh-sungguh.

Selain bermain untuk Penang Black Panther, Faisal juga pernah menabur bakti bersama Johor Tigris sewaktu bergelar pelajar prauniversiti di Johor.

photo_6262595301990839939_x

Faisal pernah mewakili Malaysia ke Sukan SEA 2021.

Ditanya mengenai kenangan manis dan pahit sepanjang bergelar atlet takraw, Faisal berkata, tersenarai dalam Sukan SEA merupakan kenangan manis buatnya dan menjadi impiannya dan untuk ke peringkat lebih tinggi iaitu Sukan Asia.

"Kalau kenangan pahit, antara yang saya akan ingat adalah pernah tidur di Terminal Bas Selatan (TBS) untuk mengikuti kejohanan yang berlangsung di Kuala Lumpur (KL) ketika itu.

"Dulu saya duduk di Pulau Pinang dan banyak game diadakan di KL, jadi saya perlu korbankan masa berulang-alik hingga pernah sampai saya tidur di TBS.

"Waktu itu tiket habis dan saya tak tahu nak tidur mana. Saya pun tak kenal sesiapa di KL, dulu lone ranger, jadi itulah antara kenangan pahit," kongsinya.

Bercakap mengenai masa depannya, Faisal bercita-cita mahu menggenggam segulung ijazah di samping terus fokus dalam sukan takraw.

"Saya nak habiskan belajar dulu tapi nak cuba main takraw lagi. Pembahagian masa agak sukar, tapi nak tak nak memang kena korbankan. Saya banyak tertinggal pelajaran dan memang kena catch up sendiri," kongsinya lagi.

Di samping itu, Faisal yang mengidolakan tekong pasukan ATM, Noor Azwari Tunku Ishak dan tekong Thailand, Siriwat Sakha, berkongsikan kata-kata motivasi yang menjadi pegangan hidup sehingga hari ini.

"Bagi saya, apa yang kita nak buat, kena buat betul-betul, tak salah untuk cuba benda baru," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram