PERAK FC mengejutkan kancah bola sepak tanah air selepas berjaya mencipta kemenangan ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan keputusan 3-1 dalam pusingan 16 saingan Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh pada Khamis lalu.
Dalam perlawanan tersebut, KDA FC membuka tirai jaringan menerusi ketua pasukan, Manuel Ott seawal minit pertama.
Namun, skuad Seladang tidak mahu terus dihantui dengan kekalahan malah bangkit menewaskan penjaga gawang KDA FC pada babak kedua menerusi sepakan penalti, Luciano Guaycochea, Luka Milunovic dan Hakimi Mat Isa.
Sekitar sesi latihan barisan pemain KDA FC. — Instagram/kedahdarulamanfc
Bagaimanapun, melihat kepada situasi Perak FC yang tewas di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi Liga Super pada Ahad, kemungkinan besar skuad Sang Kenari mempunyai peluang untuk membuat kebangkitan.
Tentunya, semangat dan moral skuad Seladang sedikit terganggu dengan kekalahan memalukan tersebut.
Bukan itu sahaja, KDA FC berada pada momentum yang baik selepas menewaskan antara pencabar utama Liga Super, Sri Pahang FC dengan keputusan 2-0 pada 8 Ogos lalu.
Perkara itu turut dikongsikan oleh pengendali legenda KDA FC, Azraai Khor Abdullah yang memberikan pandangan bahawa pasukan Sang Kenari masih mampu untuk memberikan persaingan kepada Perak FC walaupun aksi timbal balik itu dijangka sukar.
"Susah tapi tak mustahil, dalam dunia bola sepak nothing is imposible," katanya kepada Majoriti.
Di samping itu, Azraai turut berkongsi bahawa tonggak utama Sang Kenari pasti mampu mengekang jentera serangan barisan pemain Perak FC.
"Dengan barisan pemain yang baru dimasukkan seperti Ifedayo Olesegun dan J. Partiban, mereka sudah bersama pasukan Kedah untuk dua game, kita sudah nampak ada peningkatan.
"Dengan penuh harapan, semoga Kedah mampu buat comeback lagi-lagi di hadapan penyokong sendiri, " katanya.
Ditanya mengenai pemain yang sesuai menggantikan Rodney Celvin, jurulatih kelahiran Kedah itu memberikan pendapat bahawa semua pemain pertahanna sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut dan mereka perlu menunjukkan kelebihan masing-masing jika diberi peluang.
"Kedah mempunyai ramai pemain yang boleh menggantikan Rodney Celvin seperti Akmal Zahir dan pemain lain, sudah pasti ia tidak menjadi masalah.
Sebelum ini, Rodney dilayangkan kad merah pada minit ke-61 selepas mengasari pemain import Perak FC, Seo Seonung sehingga mengalami kecederaan patah hidung.
Bukan itu sahaja, Azraai juga berharap agar kelebihan bermain di laman sendiri akan menjadi pembakar semangat untuk barisan pemain Sang Kenari untuk meraih kemenangan.
"Bagi kita, ia adalah peluang yang baik untuk pemain simpanan untuk menunjukkan kebolehan masing-masing.
"One thing, kita ada kelebihan sebab bermain di laman sendiri dan based on performance last game before ini, kita pasti mampu," jelasnya.
Selepas ini, Kedah akan menerima kunjungan Perak FC dalam aksi timbal balik Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram