SELANGOR FC berpesta gol apabila berjaya membawa pulang tiga mata penuh menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan keputusan 4-0 dalam aksi Liga Super 2023 pada Isnin.
Dalam perlawanan tersebut, skuad kendalian K. Devan tidak dapat bertahan dengan baik apabila pasukan pelawat berhasil memecahkan penguasaan bola skuad Jang menerusi jaringan pemain import, Richmond Boakye yang membuka tirai jaringan menewaskan penjaga gol NSFC, Firdaus Irman pada minit ke-27.
Selain Boakye, jaringan Selangor itu turut disumbangkan oleh penyerang berbisa, Ayron del Valle, Yohandry Orozco dan juga Harith Haiqal.
Musim ini, Ayron sudah mencatatkan 16 jaringan bersama Selangor FC. — Instagram/selangorfc
Penyerang Gergasi Merah, Ayron del Valle dilihat sentiasa menampilkan aksi persembahan yang baik di atas padang sepanjang musim ini.
Penyerang kelahiran Colombia itu sudah mencatatkan 16 gol selepas 21 perlawanan Liga Super berlangsung yang mengukuhkan kedudukan untuk mengungguli carta kedua penjaring terbanyak beza satu jaringan daripada Fernando Forestieri.
Lebih menarik lagi, terdapat salah seorang penyokong mula membandingkan del Valle dengan bekas pemain import, Ifedayo Olesegun yang turut dikritik musim ini.
Jika dibandingkan dengan Ifedayo, del Valle disifatkan sebagai seorang pemain yang boleh bermain di semua posisi.
Untuk rekod, Ifedayo mempunyai reputasi sebagai pemenang Kasut Emas dua tahun berturut-turut sebagai penjaring terbanyak Liga Super musim 2020 dan 2021.
Musim ini, Ifedayo menyertai Kedah Darul Aman FC pada jendela perpindahan kedua Liga Super dan sudah menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan.
Oleh itu, menurut pandangan seorang penyokong Selangor FC yang tidak didedahkan menerusi satu akaun Facebook mengatakan bahawa terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua pemain tersebut.
"Kalau Ifedayo, dia lebih kepada target man, lebih banyak tunggu bola tapi jarang turun bawah. Tapi kalau passing atau lorongan dia bagus, dia boleh terjemahkan kepada gol.
"Berbeza dengan Ayron, dia boleh main wing kiri dan kanan, cross dia pon baik, rajin turun bawah, instinct pun bagus.
"Bola voli pun dia bagus, bukan nak puji tapi memang suka player yang tunjuk kesungguhan untuk jadi lebih baik dan bermain secara berpasukan, so bagi saya, Ayron ada kelebihan sedikit berbanding Ifedayo," katanya dalam hantaran di Facebook.
Kemenangan bergaya itu mengekalkan kedudukan The Red Giants yang menduduki tangga kedua dalam saingan Liga Super dengan mengutip 46 mata selepas 20 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram