Benci tapi sayang, 3 import akhirnya ubah sentimen luar padang penyokong


  • Podium
  • Rabu, 16 Ogos 2023

Barisan pemain Sang Penyu meraikan kemenangan besar ke atas Kelantan FC. — Instagram/terengganufc

KEDATANGAN import baharu dalam kancah bola sepak Malaysia pada saingan Liga Super musim ini menyaksikan pelbagai kontroversi melanda mereka.

Kontroversi tersebut disebabkan oleh beberapa pemain import dianggap lambat untuk menambat hati penyokong antara lain disebabkan oleh aksi persembahan yang ditampilkan kurang memberansangkan.

Hal itu dapat dilihat berpunca daripada kesukaran mereka untuk menyesuaikan diri dengan beberapa perkara antaranya persekitaran, taktikal jurulatih dan rakan sepasukan kerana masih mencari keserasian serta keharmonian dalam pasukan yang baharu.

Namun begitu, apabila liga berlangsung, pemain import berkenaan mula dilihat dapat menambat hati penyokong sedikit demi sedikit dan akhirnya tidak lagi menjadi mangsa kritikan penyokong.

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain import yang pernah terpalit dengan kontroversi benci tapi sayang namun berjaya mengetepikan sentimen kecaman luar padang tersebut.

WhatsApp Image 2023-08-15 at 22.36.27 (1)

Penyerang import TFC, Ivan Mamut. — Instagram/terengganufc

1) Ivan Mamut

Penyerang import Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut pernah dikecam oleh penyokong Sang Penyu berikutan gagal menjadi penyudah tajam di depan pintu gol.

Ivan pernah menerima kritikan dan kecaman cukup hebat apabila gagal menampilkan aksi persembahan yang baik ketika awal musim ini.

Sebelum ini, dalam satu kejadian, seorang lelaki dipercayai penyokong TFC, menunjukkan sikap biadap apabila penyerang import itu sedang membeli-belah di sebuah pasar raya.

Dalam video itu, pekerja tersebut seperti mengejek Ivan dalam loghat Terengganu ketika melayan pemain import yang mahu membeli barang basah di pasar raya berkenaan.

Namun begitu, dua perlawanan dalam Liga Malaysia (Liga M), Ivan membuktikan ketajamannya sebagai penyudah untuk pasukan TFC selepas berjaya menghasilkan hatrik yang mana salah satunya ketika Sang Penyu berpesta gol 8-0 membenam Kelantan FC.

Ivan merupakan antara import yang dibenci namun akhirnya disayangi kerana berjaya menambat hati penyokong skuad Peteh.

WhatsApp Image 2023-08-15 at 22.36.27 (2)

Penyerang berbisa Selangor FC, Ayron del Valle. — Instagram/selangorfc

2) Ayron del Valle

Penyerang berbisa Selangor FC, Ayron del Valle juga pernah terpalit dengan kontroversi selepas dianggap 'scammer' oleh penyokong Gergasi Merah.

Sebelum ini, Ayron dilabel 'scammer' kerana gagal sebagai penyudah walaupun pernah menerima gelaran sebagai penjaring terbanyak Liga Colombia.

Namun, sangkaan itu dinafikan oleh Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe yang mengatakan bahawa penggempur berusia 34 tahun itu masih memerlukan masa untuk membuktikan kehebatan dirinya.

Oleh itu, penyerang kelahiran Colombia sudah membuktikan ketajamannya di depan gawang apabila mencetak 16 jaringan dalam 21 perlawanan liga.

WhatsApp Image 2023-08-15 at 22.36.27

Import Kelantan FC, Leonardo Rolon. — Instagram/kelantanfc

3) Leonardo Rolon

Penyerang import Kelantan FC, Leonardo Rolon juga pernah dilabel sebagai pembelian paling tidak berbaloi kerana hanya mencetak kurang daripada lima gol sepanjang liga berlangsung.

Namun begitu, penyokong mula mempercayai kelebihan dalam dirinya selepas pemain kelahiran Argentina itu berjaya membawa pasukan Kelantan FC meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC dengan mencetak dua gol.

Bekas pemain Argentina Bawah 20 tahun (B-20) itu membuktikan ketajamannya sebagai penyudah yang baik di depan pintu gol.

Pastinya, penyokong Kelantan FC berasakan kehadiran Rolon akan membantu pasukan Kelantan berada dalam kedudukan terbaik walaupun jika skuad The Red Warriors perlu beraksi di Liga M3 musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram