Setaraf pemenang kasut emas Liga M, hatrik Ivan Mamut raih pujian melambung fans Sang Penyu


  • Podium
  • Selasa, 15 Ogos 2023

Sebahagian aksi barisan pemain Sang Penyu meraikan kemenangan bergaya ketika menentang Kelantan FC. — Facebook/MFL

TERENGGANU FC (TFC) berpesta gol selepas berjaya membenam Kelantan FC dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.

Pertembungan derbi Pantai Timur itu menyaksikan skuad Sang Penyu berjaya meledak sehingga lapan gol menembusi gawang tuan rumah.

Ia sekali gus memecahkan rekod pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT) yang mencipta tujuh gol dalam aksi menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 6 Mac lalu.

Dalam perlawanan berdepan The Red Warriors (TRW), hatrik kali kedua Ivan Mamut dalam Liga Malaysia (Liga M) sekali lagi mencuri tumpuan penyokong bola sepak tanah air.

Sebelum ini, pemain kelahiran Croatia itu mencipta hatrik kali pertama ketika menewaskan wakil Liga M3, Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) dengan keputusan 4-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 4 Ogos lalu.

Jaringan Terengganu turut disumbangkan oleh Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-27, Nik Sharif Haseefy (m-36), Engku Nur Shakir (m-41), Safwan Mazlan (m-47) dan Hakimi Abdullah (m-63).

WhatsApp Image 2023-08-15 at 12.41.00 (1)

Sekitar aksi menarik antara pemain Sang Penyu dan Kelantan. — Facebook/MFL

Oleh itu, rata-rata penyokong Sang Penyu memuji hatrik yang berjaya dihasilkan oleh Ivan Mamut dalam Liga M dan ia sekali gus disamakan dengan pemenang kasut emas musim lalu, Bergson da Silva dengan rekod 29 gol.

"Setaraf Bergson lah Ivan Mamut ni, antara calon kasut emas," kata Jepp AJ.

"Padu Ivan Mamut ni, kaki kiri dan kanan hidup, ada saingan Bergson," kata Mohd Zaim.

"Ivan Mamut semakin digeruni pihak lawan, baru tahu siapa dia sebenarnya," kata Wizi Ganu.

Tentunya, Ivan Mamut antara calon yang akan bersaing untuk mendapatkan anugerah Kasut Emas musim 2023 menjelang baki aksi liga yang tinggal lebih kurang enam perlawanan saja lagi.

Selepas ini, Sang Penyu akan melayan kunjungan daripada KL Rovers dalam aksi timbal balik saingan Piala Malaysia pada 18 Ogos di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram