Paulo Josue idam gol lagi bersama HM, Azam Azih makin 'ngam' corak latihan KPG


  • Podium
  • Sabtu, 02 Sep 2023

Paulo Josue mahu buru gol, Azam Azih pula mahu kembalikan prestasi yang menjunam. — Facebook/FAM

PEMAIN kebangsaan, Paulo Josue tidak sabar untuk bertemu dengan satu lagi detik dimana dia menjaringkan satu lagi gol untuk Harimau Malaya.

Bintang Kuala Lumpur (KL) City FC itu berkata, walaupun keinginan untuk menjaringkan gol itu adalah tinggi, tetapi dia sedar tanggungjawab utamanya adalah membantu pasukan.

"Kalau boleh, saya nak jaringkan beberapa gol lagi tetapi lawan yang bakal dihadapi semua adalah sukar jadi mungkin tak banyak jaringan dihasilkan.

"Paling penting, setiap pemain yang diturunkan perlu bersedia menjalankan tugas, menjaringkan gol, melakukan hantaran, membuat larian (dan) bertahan. Saya tak kisah untuk buat apa saja yang membantu pasukan tetapi jika ada peluang untuk jaringkan gol, saya akan pastikan diri saya bersedia melakukannya," kata Josue.

Josue juga berkata yang rata-rata pemain berada dalam keadaan yang baik dan kefahaman mereka terhadap taktikal yang diterapkan oleh Kim Pan-gon semakin baik.

Perkara sama dikongsikan oleh pemain tengah, Azam Azih yang kembali menyertai skuad kebangsaan selepas terlepas panggilan sebelum ini.

Menurut Azam, dia yang sebelum ini mengakui agak perlahan untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan diterapkan Pan-gon. Namun begitu, perkara itu tidak lagi menghantui pemain Sri Pahang FC tersebut.

"Pada mulanya, saya memang tak boleh nak ikut taktikal jurulatih sebab bila skuad kebangsaan, perlawanannya laju, latihannya laju, tapi saya cuba nak dapat (sesuaikan dengan) mereka punya taktikal.

"Tapi syukur, saya boleh sikit-sikit mereka punya intensiti apa semua. Jika diberi peluang untuk beraksi, saya akan lakukan dengan baik," ujar Azam.

373302669_1003355660737670_5032704903523695707_n

Azam gembira apabila dipanggil semula ke skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

Azam juga berkata panggil oleh Pan-gon ini merupakan satu pembakar semangat selepas dia mengharungi tiga kali kecederaan yang memberi kesan kepada prestasinya.

"Ini satu pembakar semangat untuk diri saya buat tahun ni. Saya harap ia dapat bangkitkan prestasi saya pada panggilan skuad kebangsaan kali ini," komen Azam lagi.

Malaysia akan bertemu Syria dan China pada 6 dan 9 September ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram