Dapat peluang kedua, Mason Greenwood tempuh karier baharu di Sepanyol


  • Podium
  • Sabtu, 02 Sep 2023

Mason Greenwood sebelum ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke Lazio. — Agensi

SELEPAS mengharungi detik sukar dalam kariernya akibat kesilapan sendiri, pemain England iaitu Mason Greenwood akhirnya diberikan peluang kedua.

Greenwood yang sebelum ini terpalit dengan isu jenayah seksual kini telah diberi peluang untuk memulakan kariernya selepas namanya dibersihkan daripada segala pertuduhan.

Walaupun begitu, Greenwood tidak boleh memulakan semula kariernya di Manchester United selepas kelab tersebut mendapati Old Trafford bukanlah tempat terbaik bagi penyerang tersebut.

United sebelum ini menyatakan mereka sedia untuk membantu Greenwood memulakan semula kariernya dan ia terbukti apabila kelab tersebut menghantar penyerang tersebut ke saingan La Liga.

Greenwood kini menyertai Getafe secara pinjaman selama semusim sebagai salah satu cara untuknya mendapatkan tempat kembali dalam kancah bola sepak.

United juga menyatakan mereka sedia untuk membantu Greenwood dan keluarganya apa sahaja yang diperlukan dalam fasa yang cukup penting ini.

"Mason Greenwood telah menyertai kelab La Liga, Getafe secara pinjaman semusim. Tertakluk kepada pengesahan antarabangsa. Perpindahan ini akan membantu Greenwood membina semula kariernya jauh daripada Manchester United.

"Pihak kelab akan terus memberikan sokongan kepada Greenwood dan keluarganya ketika peringkat transisi ini," kata United dalam kenyataan mereka.

Greenwood sebelum ini dikaitkan dengan beberapa potensi perpindahan terutamanya ke kelab Serie A iaitu Lazio namun ia tidak menjadi kenyataan pada minit-minit akhir.

Ia adalah menarik untuk saksikan bagaimana Greenwood akan mendapatkan semula ketajaman penyudahnya menentang kelab-kelab di La Liga musim ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram