Masa depan jentera tengah HM cerah, 4 aset JDT-Selangor diyakini kemudi skuad kebangsaan


  • Podium
  • Sabtu, 02 Sep 2023

Pemain muda musim ini rata-ratanya wajah utama ketika skuad B-19 negara memenangi saingan Piala AFF B-19 tahun. — Agensi

SEBUAH skuad bola sepak akan meliputi beberapa bahagian seperti penjaga gol, pertahanan, tengah serta serangan dan semua jentera tersebut mempunyai peranan masing-masing untuk membantu pasukan mendapat mata.

Antara semua bahagian tersebut, jentera serangan akan sering mendapat tumpuan berikutan mereka yang akan merekodkan gol dan dianggap sebagai pemain penting untuk membantu pasukan berada pada kelompok tertinggi liga.

Namun hakikatnya untuk merekodkan jaringan, bahagian tengah seperti centre attacking midfielder (CAM) perlu memainkan peranan penting semasa menyerang dan memberi hantaran kepada penyerang.

Antara beberapa pemain tengah skuad kebangsaan yang dilihat sering memainkan peranan sebagai CAM ialah tonggak naturalisasi, Lee Andrew Tuck dan juga ketua pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue.

Menjadi kebimbangan penyokong apabila kedua-dua tonggak berkenaan semakin berusia dan semestinya barisan pemain muda kini diharap untuk menggalas tanggungjawab berkenaan apabila mewakili skuad negara.

Oleh itu, berikut Majoriti menyenaraikan empat pemain muda yang berpotensi menjadi CAM ataupun pemain tengah posisi lain dan seterusnya menjadi aset kelab serta skuad kebangsaan;

1) Haykal Danish (Selangor FC II)

HAIKAL

Haykal kini beraksi bersama Selangor FC II. — Facebook/FAM

Nama tonggak tengah Selangor II, Haykal Danish mula meningkat naik apabila pada musim lepas dia merupakan salah satu pemain skuad Bawah 19 tahun (B-19) tahun negara memenangi saingan Piala AFF B-19 tahun yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Pada saingan Piala AFF B-19 tahun, Haykal menyumbang satu gol ketika pasukan kendalian Hassan Sazali Waras menewaskan Vietnam pada aksi separuh akhir dengan keputusan 3-0 sekaligus mara ke pentas final bertemu dengan pasukan Laos.

Selepas itu, bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) tersebut juga mencuri perhatian apabila berjaya menarik perhatian kelab Luxembourg, Racing FC pada musim 2022 sebelum sah menandatangani Selangor FC II.

Baru-baru ini, meskipun beraksi untuk skuad simpanan Gergasi Merah namun pemain berusia 18 tahun itu diberi peluang bermain bersama pemain pasukan utama seperti Faisal Halim menentang pasukan Indonesia, Persiraja.

2) Aysar Hadi (Johor Darul Takzim II)

AYSAR HADI

Aysar kini sudah mencetak satu gol buat JDT. — Facebook/JDT

Disifatkan bakal jadi jeneral tengah, Johor Darul Takzim (JDT) pada suatu hari nanti, Aysar Hadi kini semakin mendapat peluang untuk membarisi skuad utama seperti pada saingan Piala Malaysia.

Walaupun hanya diturunkan sebagai pemain gantian pada dua aksi Piala Malaysia itu, pemain berusia 19 tahun itu berhasil menyumbang satu jaringan gol ketika perlawanan pusingan kedua menentang Kelantan FC.

Aysar antara wajah utama ketika skuad muda kebangsaan memenangi Piala AFF B-19 dan lebih mengagumkan apabila pemain berusia 20 tahun itu juga pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik saingan tersebut.

Olej itu, tidak hairanlah jika ada penyokong yang berharap agar khidmat Aysar boleh membantu Harimau Muda negara mengharungi Kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand pada September.

3) Haiqal Hakimi (Selangor FC II)

HAIKAL HAKIMI

Haykal juga merupakan kelahiran AMD. — Facebook/SelangorFC

Selain Haykal Danish, Haiqal Haqimi juga merupakan pemain kelahiran AMD yang mana corak permainan berhasil mendapat tawaran ke pasukan pembangunan Selangor FC dan seterusnya dinaikkan pangkat ke skuad Selangor FC II.

Ketika bersama skuad simpanan Gergasi Merah, Haiqal diberi kepercayaan beraksi dalam 15 perlawanan, 11 kali sebagai kesebelasan utama dalam 18 perlawanan Liga Perdana Malaysia pada musim lalu.

Seperti dua pemain di atas, Haiqal juga pemain penting Piala AFF B-19 dengan menjaringkan dua gol menentang Kemboja di peringkat Kumpulan dan Vietnam di pusingan separuh akhir.

4) Daryl Sham (Johor Darul Takzim II)

DARYL SHAM

Daryl antara prospek cemerlang tanah air musim ini. — Facebook/JDT

Pemain kacukan Malaysia-Filipina, Daryl Sham juga antara tonggak utama yang mampu beraksi sebagai pemain tengah dan penyerang untuk pasukan kendalian Mariano Echeverría untuk musim ini.

Pada musim lepas, produk akademi JDT itu mengejutkan penyokong tanah air apabila pernah tersenarai dalam penjaring terbanyak Liga Perdana dengan sembilan jaringan gol berada di bawah penjaring Kuching City, Abu Kamara.

Sejak diberi peluang menyertai pasukan utama Harimau Selatan pada musim lepas, pemain bertubuh kecil itu berhasil mencetak satu jaringan gol dan tiga hantaran bantuan dalam lima aksi meliputi Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram