'Ref botak' sertai kursus VAR petanda bakal kembali warnai Liga M musim depan


  • Podium
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Zulkarnain (kanan) ketika dilihat menjalani latihan fasa kedua teknologi VAR. — Facebook/FAM

PERKEMBANGAN mengenai latihan Video Bantuan Pengadil (VAR) sudah menjalani fasa keduanya dengan melibatkan seramai 40 pengadil tempatan bersama 14 'replay operator' yang bermula 26 Ogos hingga 11 September 2023.

Menurut hantaran Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kursus latihan selama 17 hari di Wisma FAM, Kelana Jaya, itu dikendalikan tenaga pengajar VAR Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Tamer Dorry dari Mesir dan dibantu pakar teknologi VAR dari Poland, Sebastian Andrzej Szelag.

Perkembangan mengenai VAR itu yang bakal dilaksanakan bagi membantu saingan Liga Malaysia sememangnya disambut baik oleh penyokong kerana percaya teknologi berkenaan akan membantu menambah baik mutu pengadilan.

Namun, lain pula jadinya apabila gambar seorang bekas pengadil yang pernah mencetuskan kontroversi iaitu Zulkarnain Zakaria dilihat turut terlibat menjalani latihan fasa kedua teknologi VAR itu.

Nama Zulkarnain atau lebih dikenali sebagai ‘ref botak’ boleh dikatakan amat popular dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana sering terlibat dalam beberapa keputusan kontroversi.

zul botak

Zulkarnain digantung daripada mengadili semua perlawanan Liga M 2023. — Facebook/Penang FC

Antara insiden hangat melibatkannya dirinya ialah ketika aksi Liga Super Sabah FC menentang Penang FC yang mana dia difahamkan silap menginterpretasi dua situasi pemberian sepakan penalti olehnya kepada pasukan The Rhinos pada minit ke-41 dan minit 90+9.

Rentetan kejadian berkenaan, badan induk bola sepak tanah air membuat keputusan untuk mengenakan tindakan menggantung Zulkarnain daripada mengadili sebarang perlawanan bagi musim 2023.

Oleh itu, kelibatnya menyertai kursus VAR tersebut menimbulkan kerisauan penyokong dan mula tertanya-tanya sama ada Zulkarnain akan kembali mewarnai saingan liga domestik pada musim depan.

"Ada VAR pun tak boleh pakai ref botak ini, rosak game nanti," kata penyokong Harimau Malaya, Mahyuddin Mat Noor.

"Kalau si botak ini masih buat silap walaupun ada VAR, tak tahulah," komen seorang lagi penyokong, Muhammad Hafiz Ikhmal.

"Di Liga Malaysia walau guna VAR pun belum tentu puas hati penyokong bola sepak kita..ada sahaja yang tidak kena," kata seorang lagi penyokong, Rudi Othman.

Dalam pada itu, menurut FAM akan memastikan pengadil bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan VAR menerusi beberapa siri latihan dan kursus yang sudah dijalankan.

Difahamkan, Malaysia dijangka mempunyai 40 pengadil yang lulus lesen sistem VAR menjelang hujung tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram