[VIDEO] Imbau zaman gemilang Safiq Rahim, 3 kelab Asia jadi saksi keunggulan Chopot


  • Podium
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Safiq Rahim cukup dikenali dengan sumbangannya sebagai seorang kapten serta penjaring gol prolifik. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SEJAK Johor Darul Takzim (JDT) ditubuhkan pada 2012, beberapa pemain ternama pernah menyarung jersi pasukan Selatan tanah air itu selepas mencipta nama bersama kelab terdahulu.

Bergson da Silva, Safawi Rasid dan Arif Aiman Hanapi merupakan antara nama-nama yang pastinya tidak boleh dilupakan memandangkan sumbangan masing-masing cukup berharga.

Tidak cukup dengan itu, bintang-bintang global, seperti Daniel Guiza dan Pablo Aimar turut berpeluang bersama-sama skuad Harimau Selatan dengan kehadiran mereka menaikkan lagi reputasi pasukan berkenaan.

Namun, sekiranya ditanya rata-rata penyokong JDT, mereka pastinya mengatakan pemain tengah merangkap kapten kelab, Safiq Rahim sebagai antara legenda mereka.

318332A8-2D71-4904-B673-A0C1DEC80A3D

Safiq meluangkan masa kira-kira lapan tahun bersama JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Selepas tiba dari Selangor FC pada 2012, pemain tersebut tidak perlu menunggu lama untuk meletakkan namanya dalam kesebelasan utama dengan kebolehannya cukup dikenali bersama skuad kebangsaan.

Di samping dihormati dengan karismanya setiap kali beraksi, anak jati Seremban, Negeri Sembilan itu juga mempunyai reputasi sebagai seorang yang cukup berbisa ketika situasi set pieces.

Jaringannya daripada sepakan percuma dan sepakan penalti merupakan salah satu komponen utama buat Safiq sepanjang kira-kira lapan tahunnya bersama JDT.

Namun, ketika ini, dengan usianya sudah menjangkau 36 tahun, dia lebih kerap diletakkan di bangku simpanan dengan pihak kejurulatihan hanya memerlukan khidmatnya dalam bilik persalinan.

Oleh itu, untuk melihat semula kariernya yang gilang-gemilang, Majoriti menyenaraikan tiga pasukan luar yang pernah terpukau dengan kebolehan bekas kapten Harimau Malaya itu.

1. Ayeyawady United FC (Myanmar)

Sebelum Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberikan slot automatik Liga Juara-juara AFC (ACL) kepada Liga Malaysia, JDT terpaksa berpuas hati apabila hanya diberikan tempat dalam saingan Piala AFC.

Peluang itu bagaimanapun diambil dengan cukup baik oleh skuad Harimau Selatan apabila mereka pernah mencipta rekod sebagai pasukan Asia Tenggara pertama yang memenangi kejohanan itu pada 2015.

Meskipun Safiq memainkan peranan penting sehingga diangkat sebagai pemain terbaik kejohanan ketika kempen tersebut, sumbangannya pada tahun berikutnya lebih sukar dilupakan.

ju24_field_image_listing_featured.variant

Safiq (kanan) selepas menjaringkan hatrik ketika berdepan Ayeyawady United.

Selepas tersingkir di peringkat play-off ACL, JDT diletakkan dalam Kumpulan H Piala AFC di samping Bengaluru FC (India), Lao Toyota FC (Laos) dan Ayeyawady United (Myanmar).

Juara Liga Super itu dilihat tidak mempunyai sebarang cabaran apabila memulakan kempen dengan kemenangan besar 8-1 ke atas Ayeyawady United di laman sendiri.

Jaringan hatrik daripada Safiq merupakan antara sebab terbesar skuad Harimau Selatan berjaya mencatatkan kejayaan bergaya itu dengan barisan kejurulatihan lawan juga cukup terpersona dengan kebolehannya.

Prestasi membanggakan itu diteruskan dengan JDT menamatkan saingan kumpulan di tangga teratas selepas memenangi kesemua perlawanan sebelum kemaraan mereka tersekat di peringkat separuh akhir kepada Bengaluru FC.

2. Bengaluru FC (India)

Seperti dikatakan di atas, JDT diletakkan dalam Kumpulan H Piala AFC 2016 di samping Bengaluru FC yang boleh diletakkan sebagai antara kelab terbaik dari India.

Bagaimanapun, status mereka sebagai antara pasukan yang sering layak ke kejohanan di pentas Asia tidak menjejaskan semangat membara pemain JDT.

Perkara itu dibuktikan ketika skuad Harimau Selatan dijadualkan berdepan Bengaluru FC di Stadium Sree Kanteerava, India untuk aksi kedua peringkat kumpulan.

Selepas terikat pada separuh masa pertama, jaguh bola sepak tanah air itu mencipta kejutan apabila memperolehi kelebihan menerusi gol cantik terhasil daripada sepakan percuma Safiq.

Dia yang cukup dikenali dengan kebolehan untuk mencetak jaringan menerusi situasi sedemikian tampak begitu tenang meskipun benteng pertahanan dibina kukuh supaya menyekat percubaannya itu.

Keputusan kekal sehingga minit terakhir permainan dengan JDT mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut dalam Piala AFC 2016, sekali gus mengukuhkan nama mereka sebagai antara yang terbaik di Asia.

Tidak cukup dengan itu, jaringan Safiq itu juga menaikkan lagi reputasinya sebagai antara pemain tengah terbaik pernah dihasilkan dalam negara.

3. Bangkok United (Thailand)

Selepas bertahun-tahun mencuba nasib untuk ke ACL, JDT masih berdepan cabaran tersendiri apabila sering tersingkir dalam pusingan kelayakan awal.

Namun, pada 2017, skuad Harimau Selatan dilihat semakin berani untuk melangkah ke hadapan selepas menyingkirkan kelab Thailand, Bangkok United FC.

Meskipun bukanlah sebuah pasukan yang sering beraksi di pentas Asia, kebolehan wakil dari negara jiran itu juga perlu diberikan perhatian berdasarkan barisan pemain dimiliki mereka amat berkualiti dan dikenali umum.

Selain itu, Bangkok United turut mempunyai reputasi cukup baik memandangkan mereka menamatkan saingan Liga Thailand di tangga kedua pada 2016 dengan Muangthong United muncul sebagai juara.

Bangkok-United-1-1-JDT-penalti-4-5-safiq-rahim

JDT meraikan kemenangan ke atas Bangkok United dalam peringkat kelayakan ACL 2017. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Jadi, perlawanan kelayakan itu pastinya dianggap sebagai satu cabaran buat JDT yang bercita-cita besar untuk meneruskan kemaraan dalam kejohanan tertinggi peringkat kelab Asia itu.

Selepas terikat sepanjang 90 minit permainan, Safiq Rahim sekali lagi muncul sebagai wira buat pasukan Selatan tanah air itu apabila menggegarkan gawang lawan.

Bagaimanapun, kelebihan itu tidak berkekalan apabila Bangkok United menyamakan kedudukan menerusi gol minit-minit akhir permainan daripada Jaycee John Okwunwanne.

Tetapi, ia jelas tidak melunturkan semangat pemain JDT, termasuk Safiq yang mengungguli penentuan sepakan penalti dengan kapten mereka menyempurnakan sepakan pertama.

Meskipun mereka kemudiannya tersingkir kepada kelab Jepun, Gamba Osaka ketika peringkat play-off, sumbangan Safiq Rahim itu pastinya sukar dilupakan rata-rata penyokong Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram